Laporan kajian UEC masih ditulis, kata Eddin Khoo


Eddin mempengerusikan pasukan petugas yang dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim dan Timbalan Presiden Dong Zong, Tan Yew Sin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2019.

LAPORAN kajian dasar mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) belum siap dan masih lagi ditulis, kata pengerusi pasukan petugas kajiannya Eddin Khoo.

Walaupun cadangan kajian itu sudah dipersetujui secara konsensus bersama dua anggota lain pasukan petugas, Eddin menjelaskan hanya beliau seorang yang menulis laporan itu. 

Eddin mempengerusikan pasukan petugas yang dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim dan Timbalan Presiden Dong Zong, Tan Yew Sin.

“Menteri belum terima laporan lagi kerana saya masih menulisnya,” kata Eddin dalam mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada The Malaysian Insight.

Eddin mengulas laporan Free Malaysia Today hari ini bahawa laporan kajian UEC telah dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan. 

Anggota Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) Mohamad Raimi Abdul Rahim dipetik berkata, laporan berkenaan diserahkan “sebaik selepas menteri pendidikan berkata bahawa kementerian masih menunggunya”.

“Kami telah mengenal pasti isu utama dan semua pemegang taruh yang ditemui.

“Syornya jelas dalam cadangan yang kami kemukakan kepada kementerian dan Kabinet,” katanya seperti dipetik FMT

Eddin bagaimanapun tidak menjelaskan bila laporan akan siap.

“Kalau mahu sebarang pengesahan tolong dapatkan dari saya,” tambah Eddin. 

“Media nampaknya agak mabuk UEC, lebih minat dengan hasilnya, siapa menang siapa kalah, berbanding mendapatkan laporan menyeluruh yang menjelaskan keadaan sebenar.

“Sebagai seorang wartawan, saya melihat ini gambaran yang menyedihkan tentang keadaan media hari ini,” katanya.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight pada awal Oktober, Eddin mendedahkan laporan yang sedang ditulisnya meliputi wawancara lebih 150 jam dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam pendidikan Malaysia.

Isu yang sedang mereka teliti bukan melibatkan soal pengiktirafan UEC semata-mata tetapi jauh daripada itu, turut menyentuh isu lain dalam sistem pendidikan, katanya.

“Ini bukan hanya mengenai UEC tetapi ini juga tentang masalah masyarakat.

“Ini bukan hanya isu kaum Cina atau Melayu. Ini isu pendidikan Malaysia,” katanya.

Laporan yang akan dikemukakan kepada kerajaan nanti adalah sebuah laporan bertulis yang lengkap, termasuk transkripsi perbincangan, jelas Eddin dalam wawancara itu.

Pasukan petugas dasar UEC sepatutnya mengemukakan dapatan tersebut kepada Kementerian Pendidikan bulan lepas.

Semalam, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata beliau maklum pasukan itu sedang berusaha sedaya upaya menyiapkan laporan tersebut.

Awal Oktober lalu, Maszlee berharap penangguhan pada akhir September lalu adalah yang terakhir. – 8 November, 2019. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen