Ibu bapa tidak yakin sekolah kebangsaan, kata jawatankuasa khas UEC


Khoo Gek San

Pengerusi jawatankuasa khas UEC Eddin Khoo berkata kebanyakan ibu bapa yang ditemui tidak yakin dengan SK, dan hantar anak ke sekolah vernakular. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2019.

MAJORITI ibu bapa yang dikaji selidik oleh jawatankuasa khas Peperiksaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina (UEC) berkata mereka tidak yakin dengan sekolah kebangsaan (SK) dan menghantar anak ke sekolah vernakular.

Bagaimanapun, sebahagian ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah vernakular turut membantah pengiktirafan terhadap UEC.

Ini apa yang jawatankuasa khas UEC maklumkan kepada ahli Parlimen pada mesyuarat semalam.

Jawatankuasa itu hadir ke Parlimen semalam untuk mengumpul maklum balas daripada wakil rakyat.

Panel tiga ahli itu, dilantik oleh Kementerian Pendidikan pada 29 Oktober tahun lalu, setakat ini berhubung dengan 56 individu dan entiti, termasuk persatuan, parti politik, sarjana dan ibu bapa bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan isu itu.

Pasukan itu diketuai Eddin Khoo, dengan dua lagi ahlinya ialah Timbalan Presiden Dong Zong Tan Yew Sing, yang turut mempengerusikan Dewan Perniagaan Malaysia-China, dan Presiden Gerakan Belia Muslim Malaysia Mohamad Raimi Abdul Rahim.

UEC ialah ujian standard untuk sekolah menengah Cina diuruskan oleh Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia sejak 1975.

Peperiksaan itu dimulakan selepas sekolah Cina enggan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium arahan dan menyertai sistem pendidikan negara pada hujung 1960-an. Pada masa itu, terdapat 62 sekolah seumpama itu di seluruh negara, dengan satu pertiga daripadanya di Sabah dan Sarawak.

Semalam, Khoo memberitahu ahli Parlimen, kuota universiti kekal tidak berubah sejak 20 tahun lalu, walaupun jumlah pelajar meningkat.

Universiti tempatan membenarkan pelajar luar negara mendaftar tetapi tidak menerima pelajar tempatan dengan kelayakan UEC, kata Khoo. – 17 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen