KERAJAAN perlu menanggung kos kuarantin dan rawatan pekerja warga Malaysia yang mahu kembali dari Singapura, kata dua ahli Parlimen Johor.
“Ramai rakyat Malaysia terpaksa kembali kerana keselamatan atau masalah kewangan,” kata Akmal Nasir (Johor Bahru-PH) pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata mereka adalah pekerja warga Malaysia yang terkandas di Singapura selepas diberhentikan kerja berikutan penutupan sempadan kerana pandemik Covid-19 pada 18 Mac.
“Ada juga kumpulan rakyat kita yang tidak boleh pulang sejak Mac lalu kerana mereka tiada duit.
“Kos sebanyak RM1,200 adalah tinggi bagi mereka. Kami harap kerajaan boleh pertimbangkan untuk menanggung kos berkenaan kepada merek,” katanya yang juga ketua Pemuda PKR.
Minggu lalu, kerajaan memutuskan rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara perlu menanggung sebahagian daripada kos kuarantin untuk penginapan dan makan di pusat kuarantin untuk 14 hari.
Sementara itu timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub (Pulai-PH) mempersoalkan mengapa kerajaan Sarawak boleh menanggung kos kuarantin untuk rakyatnya tetapi kerajaan persekutuan tidak boleh melakukan perkar ayang sama untuk rakyat Malaysia kembali ke semenanjung.
Menurut dua ahli Parlimen tersebut, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura kebanyakannya golongan berpendapatan rendah.
“Ini boleh dilihat pada 300,000 penunggang motosikal yang berulang alik untuk bekerja di Singapura setiap hari (sebelum PKP),” kata Salahuddin.
“Mengapa kita mahu mereka tanggung lebih banyak kos.” – 3 Ogos, 2020.
Komen