Pemuda PKR mahu Anwar ketuai Pakatan


Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata sayap Pemuda PKR komited dengan dasar dan pendirian PH dan PKR iaitu mempertahankan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan fokus pada isu rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2020.

PEMUDA PKR mahu Anwar Ibrahim mengetuai Pakatan Harapan (PH) dalam usaha parti itu berdepan dengan Perikatan Nasional, gabungan baharu parti politik yang mengambil alih pentadbiran di Putrajaya dan beberapa negeri sejak dua minggu lalu.

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata PH perlu terus berpegang pada prinsip dan perjuangan mengangkat hak dan kepentingan rakyat kebanyakan.

Katanya, sayap Pemuda PKR komited dengan dasar dan pendirian PH dan PKR iaitu mempertahankan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan fokus pada isu rakyat.

“Bagi mempertahankan prinsip ini, wajarlah untuk Anwar Ibrahim dan PH mengetuai usaha untuk mempertahankan mandat rakyat dan berhadapan dengan Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akmal yang juga ahli Parlimen Johor Baru turut menyeru ahli Parlimen PH yang “kekal berprinsip” dan tidak mahu bersekongkol dengan Perikatan Nasional agar terus bersama PH dan mendukung kepimpinan Anwar.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika ada dalam kalangan pemimpin PH yang berharap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad terus menerajui gabungan itu untuk menentang Perikatan Nasional.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Bersatu, dianggap antara faktor yang menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum yang lalu.

Dr Mahathir dan beberapa bekas pemimpin Umno termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengangkat sumpah pada 1 Mac lalu menubuhkan Bersatu pada September 2016 dengan matlamat menyingkirkan pentadbiran Najib Razak.

Bersatu menyertai gabungan PKR, Amanah dan DAP dalam PH beberapa bulan kemudian dan menang pilihan raya umum pada Mei 2018.

Hujung bulan lalu, Muhyiddin menarik keluar Bersatu dari PH sementara Dr Mahathir meletak jawatan pada hari yang sama, lalu mencetuskan kemelut politik yang membawa kepada peralihan kerajaan di Putrajaya dan beberapa negeri. – 12 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen