DAP, Amanah masih harapkan Dr Mahathir


The Malaysian Insight

Dr Mahathir Mohamad mengumumkan meletak jawatan sebagai perdana menteri dan secara tidak langsung membubarkan kerajaan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2020.

DR Mahathir Mohamad masih komited dengan perjuangan Pakatan Harapan (PH) dan tidak memberi bayangan untuk berundur, kata Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Bekas menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata, komitmen itu dinyatakan Dr Mahathir, dalam pertemuan bersama pimpinan tertinggi Amanah di Putrajaya, semalam.

“Dr Mahathir masih punya kekuatan dan tidak berundur, beliau akan terus menentang kerajaan tidak bermoral ini,” kata Salahuddin ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, pertemuan semalam juga tidak membincangkan secara khusus strategi mereka.

“Strategi semua kita akan bincang kemudian, pertemuan semalam hanya pertemuan orang politik, kebetulan kami semua yang ada semalam daripada Amanah, tapi ada lagi tokoh parti lain yang buat temu janji dengan beliau

“Ini pertemuan biasa, bincang perkembangan terbaru, lihat sisi politik berdasarkan info terkini dan nak lawan balik kerajaan yang dirampas ini,” katanya, lagi.

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar pula berkata, dalam pertemuan itu, Dr Mahathir juga memberikan komitmen untuk terus memainkan peranan penting dalam PH.

“Beliau beri gambaran masih tidak menerima pembentukan kerajaan berasaskan pengkhianatan dan kerjasama dua golongan pengkhianat dan kleptokrat.

“Ini akan jadikan kerajaan kita balik kepada seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu,” kata ahli Parlimen Pokok Sena itu.

“Beliau juga beri komitmen akan main peranan penting bersama rakan PH, bersama-sama lakukan satu lagi proses selamatkan Malaysia buat kali kedua daripada kleptokrat. Kita akan beri kesedaran kepada masyarakat dan rakyat,” katanya, yang juga bekas timbalan menteri sumber manusia.

Mahfuz dan Salahuddin Ayub semalam memuat naik hantaran di Facebook masing-masing berkenaan pertemuan selama sejam bersama Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Selain Mahfuz dan Salahuddin, turut hadir dalam pertemuan itu adalah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Mujahid Yusof serta Husam Musa.

Sumber lain dalam DAP dan Amanah juga menegaskan PH masih memerlukan Dr Mahathir untuk mengetuai gabungan itu untuk membolehkannya kembali berkuasa.

Sumber lain dalam DAP dan Amanah juga menegaskan Pakatan Harapan masih memerlukan Dr Mahathir Mohamad untuk mengetuai gabungan itu bagi membolehkannya kembali berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2020.

“Beliau masih lagi pilihan terbaik untuk meraih sokongan orang Melayu kepada PH,” kata seorang ahli Parlimen kepada The Malaysian Insight.

“Kita masih boleh bertindak sebagai pembangkang yang baik kepada Perikatan Nasional tapi jika kita mahu perkenal reformasi, kita perlu berada dalam kerajaan,” katanya lagi.

Bagi tujuan itu, PH memerlukan undi Melayu namun ramai ahli Parlimen Melayu tidak lagi bersama dengan tindakan Bersatu keluar dari gabungan parti tersebut.

Dr Mahathir kemudiannya mengumumkan meletak jawatan sebagai perdana menteri dan secara tidak langsung membubarkan kerajaan PH.

Oleh sebab itu, ahli Parlimen PH tersebut kini berpendapat mereka perlu Dr Mahathir.

“Untuk mengembalikan keyakinan bahawa PH adala pilihan lebih baik, kita perlu mengembalikan Dr Mahathir,” katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, semalam bagaimanapun membayangkan PH akan menamakan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai ketua kerajaan, sekiranya mereka kembali mentadbir.

Dalam wawancara disiarkan Bloomberg Television itu, Dr Wan Azizah berkata, ia akan dibincangkan dalam satu mesyuarat.

Bersatu yang dipimpin presidennya Muhyiddin Yassin bergabung dengan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Umno dan PAS untuk membentuk gabungan baharu.

Muhyiddin kemudiannya sebagai perdana menteri baharu oleh Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ahli Parlimen.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac dan seminggu kemudian mengumumkan barisan Kabinet dianggotai ramai pengikut Azmin, Bersatu dan PAS. – 11 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen