PIHAK berkuasa perlu bersikap adil kepada semua wakil rakyat semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir, merujuk kepada penahanan Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran baru-baru ini.
“Layanan pilih kasih atau ‘double standard’ terhadap wakil rakyat Pakatan Harapan wajar dihentikan segera,” kata Akmal dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata semua ahli Parlimen boleh meneruskan khidmat selagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Maka, pemerintah perlu mengambil peluang ini dan bukan sekadar retorik untuk bersikap lebih jujur dan bertanggungjawab.”
Ahli Parlimen dari PKR itu mengulas mengenai penahanan Prabakaran dua hari lalu, ketika mahu menyertai mesyuarat membabitkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar dan agensi-agensi kerajaan di Taman Sri Murni yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Prabakaran disiasat mengikut Sesyen 186 Kanun Keseksaan dan dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Beliau berdepan hukuman penjara dua tahun, atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan bersalah.
“Selaku ahli Parlimen kawasan, beliau seharusnya diberi ruang untuk terlibat bersama dan memberi pandangan berdasarkan maklumat-maklumat ‘ground’,” kata Akmal yang juga ketua Pemuda PKR.
Malah Prabakaran tidak datang bersama rombongan besar dan tidak menggunakan kekerasan semasa masuk ke bilik mesyuarat, jelasnya.
“Sehingga kini, ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan terpaksa berikhtiar sendiri serta tidak dilibatkan dalam perbincangan dan penyelerasan pengurusan kawasan Parlimen masing-masing,” kata Akmal. – 22 April, 2020.
Komen