PKR tidak percaya Dr Mahathir lagi, kata ketua pemuda


Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata kerajaan PH tidak akan runtuh jika Dr Mahathir Mohamad tidak meletakkan jawatan tanpa perbincangan dengan PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2020.

MEKANISME untuk memastikan Dr Mahathir Mohamad tidak menjadi perdana menteri untuk lebih enam bulan, tidak berguna jika asyik mungkiri janji hingga tiada lagi kepercayaan, kata Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir.

Akmal berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan wakil rakyat DAP Anthony Loke yang berkata akan ada mekanisme diwujudkan ketika mendesak PKR membuat keputusan dan menerima Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) Plus.

Beliau berkata Dr Mahathir punca masalah PH hingga runtuhnya kerajaan itu daripada kuasa persekutuan.

“Ingatlah, kejatuhan kerajaan PH tidak akan berlaku sekiranya perdana menteri ketika itu tidak meletakkan jawatan tanpa perbincangan dengan PH (pada 24 Februari),” kata ahli Parlimen Johor Bahru itu dalam satu kenyataan hari ini.

Peluang untuk Perikatan Nasional (PN) berkuasa menerusi pintu belakang sebenarnya dibuka jauh lebih awal sebelum “Langkah Sheraton”, katanya dengan di mana mandat rakyat dikhianati dan dipijak.

Beliau merujuk kepada perhimpunan ahli Parlimen Bersatu diketuai presidennya yang kini perdana menteri Muhyiddin Yassin, Barisan Nasional, PAS dan pembelot PKR untuk membentuk gabungan baharu di Hotel Sheraton.

“Sebagai contoh, PKR tidak pernah mencadangkan (bekas timbalan presiden PKR) Azmin Ali dan kartelnya untuk dilantik sebagai menteri, tetapi beliau (Dr Mahathir) angkat juga dan tubuh Kabinet ikut seleranya.

“Dasar pecah perintah sebegini rupa menyebabkan habis porak-peranda parti. Sampai sekarang, tindakan Azmin dengan Langkah Sheraton-nya langsung tidak dikecam,” kata Akmal, merujuk kepada pelantikan Kabinet PH oleh Dr Mahathir selepas gabungan itu berjaya menawan kuasa persekutuan pada 2018.

“Bila ditanya atau mohon pertimbangan, mulalah ditunjuk taring kuasa eksekutif.”

Kenyataan Akmal itu perang kata-kata terbaru dalam PH berkenaan calon perdana menteri dalam usaha pakatan itu menawan semula kerajaan persekutuan.

DAP, Amanah, Warisan dan puak Dr Mahathir menyokong negarawan yang sudah dua kali jadi perdana menteri itu untuk memegang lagi jawatan itu untuk enam bulan, dengan Anwar Ibrahim sebagai timbalannya, tetapi PKR menolak cadangan itu.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dalam temu bual dengan Malaysiakini bercakap tentang mekanisme boleh diwujudkan untuk memastikan Dr Mahathir memenuhi tempoh enam bulan.

Penyokong Anwar kebanyakannya menyalahkan Dr Mahathir kerana memberi lebih kuasa kepada Azmin dan kumpulan penyokongnya dengan melantik mereka sebagai menteri.

Akmal berkata Dr Mahathir juga dipersalahkan atas kejatuhan populariti PH.

“Ketika kita ada sokongan rakyat dan memiliki panduan yang jelas, perjuangan PH diketepikan dan keputusan Mesyuarat Majlis Presiden (dasar PH, peralihan, Majlis Tindakan Negeri dan lain-lain) terus-menerus tidak dipedulikan.

“Macam mana nak nafikan cerita komplot apabila berduyun-duyun kemasukan ahli Parlimen Umno ke dalam Bersatu disambut mesra yang mana hari ini terbukti tiada seorang pun setia dengan PH.

“Dalam keadaan PH diserang teruk dengan sentimen agama dan perkauman, bukan hendak diredakan tetapi ditambahnya perpecahan seperti melalui Kongres Maruah Melayu,” katanya.

Beliau berkata Pemuda PKR tidak akan menyokong cadangan untuk mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sekali lagi.

“Saya secara peribadi lebih rela kita kembali kepada asas perjuangan, santuni aspirasi orang muda dan kekal fokus kepada isu rakyat walaupun mengambil sedikit masa,” kata Akmal. – 18 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen