PKR boleh adakan pilihan raya jika Dr Mahathir langgar perjanjian, kata DAP


Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata, PKR ada pilihan untuk memaksa pilihan raya diadakan sekiranya Dr Mahathir melanggar perjanjian.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2020.

PKR boleh menarik diri dan memaksa untuk pilihan raya sekiranya Dr Mahathir Mohamad tidak meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada masa yang ditetapkan, kata Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke.

“Setiap parti boleh menjatuhkan kerajaan jika mereka tarikh balik sokongan. Sekiranya janji tidak ditepati (oleh Mahathir), PKR ada pilihan untuk memaksa pilihan raya diadakan pada masa itu,” kata Loke kepada Malaysiakini dalam satu sesi wawancara hari ini.

Loke berkata, adalah perkara biasa untuk skeptikal dengan cadangan Pakatan Harapan Plus untuk sekali lagi melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri selepas kerajaannya tumbang pada Februari lalu. 

“Sudah pasti rakyat akan mempersoal sama ada beliau akan menunaikan janji. “Jawapan kami terhadap undur diri lepas enam bulan, terdapat mekanisme untuk memastikannya.

“PKR ada 38 MP. Tanpa mereka Mahathir tak boleh terus memerintah.”

Loke berkata demikian ketika mengulas mengenai kebuntuan yang dihadapi Pakatan dalam menentukan calon perdana menteri sekiranya berlaku pilihan raya umum ke-15 berikutan desas-desus yang menyatakan ia akan diadakan tidak lama lagi. 

DAP, Amanah dan Warisan memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya berlaku pilihna raya mengejut, manakala PKR menyokong presidennya Anwar Ibrahim.

Pakatan Plus, yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah, Warisan dan kumpulan ahli Parlimen Bersatu yang diketuai Dr Mahathir, sepatutnya membuat keputusan pada Selasa namun gagal mencapai kesepakatan pada saat akhir.

Bersatu, yang diasaskan oleh Dr Mahathir, bukan lagi sebahagian daripada Pakatan Harapan selepas presidennya yang juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengeluarkannya daripada Pakatan pada Feebruari lalu untuk menubuhkan kerajaan bersama Barisan Nasional, PAS dan beberapa pemimpin PKR.

Loke berkata, PH perlu menubuhkan kerajaan dengan sekutunya kerana mandat yang diberikan pada pilihan raya 2018. 

Dia mengatakan DAP cenderung untuk belajar dari kesilapan masa lalu daripada menuding jari siapa yang bertanggungjawab atas kejatuhan kerajaannya pada  Februari.

“Sudah pasti jika saling menyalahkan, semua akan menyalahkan satu sama lain. Kami sedia belajar dari kesilapan lalu dan teruskan. 

“Jika mahu saling menyalahkan, sebelah pihak akan salahkan Dr Mahathir, dan pihak satu lagi akan salahkan yang lain. Tidak akan ada penghujung. 

“Saya tidak amenyatakan beliau tidak membuat sebarang kesilapan. Kami sudah maklumkan kepadnaya beliau meletakkan jawatan tanpa merujuk sesiapa dan itu menyebabkan kejatuhan kerajaan,” tambahnya. – 18 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen