Wawasan 2020 gagal wujudkan Bangsa Malaysia, kata Dr M


Chan Kok Leong

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Wawasan 2020 gagal mewujudkan Bangsa Malaysia walaupun berjaya mengurangkan jurang pendapatan antara kaum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2020.

WAWASAN 2020 berjaya mengurangkan jurang pendapatan antara kaum dan menjadikan negara dari masyarakat agrarian kepada negara perindustrian tetapi gagal mewujudkan Bangsa Malaysia, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Apabila saya mencadangkan kita ada Bangsa Malaysia, saya percaya bahawa kita boleh menjadi seperti Amerika Syarikat,” kata pemimpin berusia 95 tahun itu dalam program secara langsung di Facebook malam tadi.

“Tetapi kita di Malaysia mahu mengekalkan hubungan dengan negara-negara asal dari segi bahasa, budaya dan lain-lain serta sukar untuk menjadikannya satu warganegara. Untuk melakukannya kita harus melupakan negara asal kita,” kata bekas perdana menteri ini.

Beliau berkata walaupun Presiden AS Dwight Eisenhower berasal dari Jerman, dia berjuang melawan negara itu semasa Perdang Dunia 2.

“Dia keturunan Jerman tetapi dia mengidentifikasikan dirinya sebagai orang Amerika dan melawan Jerman,” katanya.

Tetapi Dr Mahathir berkata beliau melihat beberapa perubahan hari ini dalam kalangan generasi muda di mana orang Melayu belajar bagaimana menggunakan sumpit dan orang Cina boleh berpantun (membaca puisi Melayu).

“Kita masih perlu cari apa ertinya menjadi orang Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir bagaimanapun percaya bahawa Wawasan 2020 membawa banyak kejayaan walaupun masih gagal mencapai status negara maju.

“Terdapat lebih banyak golongan professional dalam kalangan orang Melayu misalnya. Pada masa itu kita tahu jika kita beri peluang untuk melanjutkan pelajaran mreka juga boleh berjaya.

“Hari ini terdapat banyak golongan professional Melayu berbanding ketika mula-mula dahulu,” katanya.

Beliau berkata Proton merupakan antara salah satu kejayaan Wawasan 2020.

“Kita pernah menjadi negara pertanian. Pertanian memerlukan banyak tanah berbanding pembuatan. Dan tidak ada peluang pekerjaan yang cukup jika kita berpegang pada pertanian kerana memerlukan lebih sedikit orang untuk berada dalam sektor pertanian.

“Oleh itu untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan, kita memilih untuk membuat kereta,” katanya.

Sebuah kereta biasanya menggunakan 4,000 bahagian, katanya.

“Ketika kita bina Proton, kita tidak hanya membuat sebuah kereta tetapi menciptakan industri untuk membuat 4,000 bahagian. Ini mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan meningkatkan keupayaan kejuruteraan kami. Dan dari sana kita boleh terus membuat perkara lain,” kata Dr Mahathir.

Pada 1991 Dr Mahathir memperkenalkan konsep Wawasan 2020 dalam Rancangan Malaysia Ke-6.

Visi tersebut mahu Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian yang berdikari dalam 30 tahun merangkumi kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial, kestabilan politik dan pendidikan bertaraf dunia. – 2 Ogos, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tak payah nak buat-buat hairan mengapa WAWASAN 2020 gagal mewujudkan Bangsa Malaysia.
    Dari awal-awal lagi kamu tidak terima orang-orang bukan Islam sebagai warganegara Malaysia. Kamu telah namakan mereka sebagai PENDATANG.
    Baru-baru ini, iaitu dalam ucapan kamu di Kongress Maruah Melayu pada bulan Oktober 2019, kamu masih tidak terima orang-orang bukan Islam sebagai rakyat Malaysia. Sekarang kamu panggil mereka ORANG ASING pula.
    Awak telah wujudkan Biro Tata Negara untuk indoktrinasi tentang KETUANAN MELAYU.
    Maka jika "orang asing" tidak diterima oleh pucuk pimpinan negara sebagai warganegara Malaysia tetapi di beza-bezakan dengan orang Islam, maka dalam suasana begitu bagaimana Bangsa Malaysia nak wujud ???
    Siapa yang perlu sediakan SUASANA YANG SUBUR untuk mendorong kewujudan Bangsa Malaysia??
    Jika tiada keikhlasan pada pucuk pimpinan negara untuk mewujudkan Bangsa Malaysia, maka susahlah untuk mencapai objektif. Jadi sebagai permulaan langkah-langkah perlu diambil oleh pucuk pimpinan untuk wujudkan suasana yang subur untuk wujudkan Bangsa Malaysia.

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan