Di ambang Hari Malaysia, PM mahu rakyat bersatu sebagai Anak Bangsa Malaysia


Ragananthini Vethasalam

Lirik-lirik lagu tersebut menunjukkan beberapa bangsa berkumpul dan membina masyarakat Malaysia. Ia juga menyatakan terdapat keretakan dan perpisahan yang meresap ke dalam masyarakat Malaysia sejak kebelakangan ini. – Gambar Youtube, 15 September, 2019.

DI ambang Hari Malaysia, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan seluruh rakyat Malaysia untuk memecahkan tembok yang memecah belahkan perpaduan rakyat dan bersatu hati sebagai Anak Bangsa Malaysia.

Perdana menteri berusia 94 tahun itu menyampaikan mesej tersebut dalam sebuah penampilan khas video muzik lagu berjudul Anak Bangsa Malaysia yang dinyanyikan oleh Hazama. T

Lagu dan lirik lagu tersebut adalah karya Amin Iskandar, beliau turut menulis kata-kata yang dibacakan Dr Mahathir dalam lagu tersebut.

Mengambil irama-irama muzik klasik daripada pelbagai kumpulan etnik, lagu dan video muzik itu mengetengahkan konsep Bangsa Malaysia, di mana rakyat Malaysia dari semua kepercayaan dan kaum bersatu hati dalam sebuah negara berdaulat.

Dalam video muzik berdurasi empat minit itu, Hazama dan rakan-rakannya daripada kaum India dan Cina ditunjukkan sebagai sekumpulan chef yang menyiapkan juadah bagi sebuah majlis makan tengah hari untuk para tetamu daripada pelbagai kumpulan etnik.

Lagu itu dimuat naik di halaman Facebook Dr Mahathir pada pukul 7.30 malam tadi.

“Bangsa kita bangsa merdeka. Gagah dan kuat kerana kepelbagaian. Dari banyak menjadi satu, membawa negara ke persada dunia,” kata Perdana Menteri dalam satu bahagian puitis di akhir video.

Beliau berkata kemakmuran perlu dikongsi bersama dan negara harus terus maju. Perbezaan yang timbul harus berubah menjadi kekuatan.

“Walau terdapat perbezaan. Tembok pemisah kita robohkan. Bersatu padu tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan kerana kita adalah ... Anak Bangsa Malaysia,” katanya pada 40 saat terakhir video tersebut. 

Malaysia akan meraikan Hari Malaysia ke-56 esok.

Lirik-lirik lagu tersebut menunjukkan beberapa bangsa berkumpul dan membina masyarakat Malaysia. Ia juga menyatakan terdapat keretakan dan perpisahan yang meresap ke dalam masyarakat Malaysia sejak kebelakangan ini.

“Tetapi mengapa kini, kita semua semakin terpisah?”.

“Kita semua hanyalah manusia tak kira warna kulit dan kepercayaan, berpayung kita di bawah satu bendera. Kita adalah Anak Bangsa Malaysia,” kata lirik yang dilantunkan Hazama yang terkenal mempunyai suara lantang. – 15 September, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen