Tanam azam majukan negara, seru Dr Mahathir


Ragananthini Vethasalam

2020 adalah titik permulaan Malaysia menjadi negara maju 2030, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 Januari, 2020.

DR Mahathir Mohamad mahu penjawat awam menanam azam tahun baru 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik dan maju, setanding dengan negara maju yang lain.

Berucap pada perjumpaan bulanan di Putrajaya, perdana menteri berharap tahun 2020 menjadi titik permulaan Malaysia bergerak ke hadapan untuk mencapai cita-cita jadi negara maju menjelang 2030.

“Buatlah resolusi untuk negara. Resolusi untuk menjayakan negara kita ini supaya kita boleh berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa maju di dunia ini.

“Saya harap kita sambut tahun baru ini dengan membuat resolusi yang bukan saja memberi manafaat kepada diri sendiri tetapi juga kepada negara.

“InsyaAllah kalau kita berusaha bersungguh-sungguh kita akan capai matlamat yang kita tujukan,” katanya di Putrajaya, pagi ini.

Dr Mahathir yakin, dengan rakyat yang bekerja keras dan bersungguh-sungguh, Malaysia boleh mencapai tahap negara maju lebih awal daripada garis masa tahun 2030.

Perdana menteri juga mengingatkan sesuatu pekerjaan tidak terhenti setakat makan gaji tetapi bersamanya juga ada tanggungjawab untuk menyumbang sesuatu kepada negara.

“Yang lebih utama ialah kejayaan kerja kita bukan saja memenuhi masa tetapi memenuhi masa dengan kerja yang akan menyumbang kepada negara,” katanya.

Dr Mahathir turut mengingatkan penjawat awam bahawa berjaya atau gagalnya negara akan sangat bergantung pada jentera kerajaan dan menteri.

“Kerjasama antara menteri dan pegawai amatlah penting. Kita harus ketepikan perasaan peribadi untuk menentukan segala dasar untuk membangunkan negara dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Dr Mahathir menyebut Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan pada Oktober lalu sebagai sebuah dasar yang diharap akan mengubah Malaysia dengan mengatasi jurang antara rakyatnya.

“Kita sedar ada perbezaan antara bandar, wilayah dan kaum. Untuk mengatasi masalah ini bukan saja perancangan dan tindakan dari kerajaan yang diperlukan tetapi tindakan rakyat juga diperlukan untuk menjayakannya,” katanya.

Beliau mengingatkan golongan yang tertinggal agar tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata sebaliknya turut sama meningkatkan usaha dan mengubah sikap.

Pada masa sama, beliau berharap mereka yang kaya juga akan membantu kerajaan melaksanakan dasar kemakmuran bersama.

“Yang kaya mestilah berusaha untuk menolong yang miskin sekurang-kurangnya bukan sahaja (melalui) CSR (tanggungjawab sosial korporat) tetapi juga membayar cukai sepenuhnya,” katanya. – 6 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen