Lubnan salahkan Israel cemari kedaulatan


Perdana Menteri Lubnan Hassan Diab berkata Israel mencabuli Resolusi 1701 PBB dengan melakukan operasi ketenteraan yang berbahaya.– Gambar EPA, 28 Julai, 2020.

PERDANA Menteri Hassan Diab berkata pada Selasa rejim Israel telah mencemari kedaulatan Lubnan dan melakukan operasi ketenteraan “berbahaya” di sempadan kedua-dua negara, lapor agensi berita Sputnik.

“Semalam, Israel sekali lagi mencemari kedaulatan Lubnan dan mencabuli Resolusi 1701 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan melakukan operasi ketenteraan yang berbahaya,” kata Diad.

Perdana menteri itu turut memberi amaran hubungan kedua-dua negara mungkin “tergugat memandangkan ketegangan yang berlaku di sempadan.”

Pengumuman itu susulan insiden berbalas tembakan yang berlaku pada Isnin di sempadan Israel-Lubnan di kawasan pertanian Shebaa yang menjadi pertikaian.

Seorang sumber tempatan memberitahu Sputnik, Israel turut membedil penempatan Kfarchouba di selatan Lubnan selama kira-kira setengah jam.

Minggu lalu, ketegangan di wilayah itu memuncak selepas terdapat laporan mengatakan Israel melancarkan serangan udara dan membunuh seorang pejuang Hizbullah di selatan Damsyik. – Bernama, 28 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen