Tangguh lagilah pinjaman sampai hujung tahun, kata peniaga


Ravin Palanisamy Sheridan Mahavera Zaim Ibrahim

Seperti banyak usahawan kecil, moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama enam bulan adalah talian hayat untuk peniaga pau, Nurahdafashihah Salim semasa dan selepas PKP. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Julai, 2020.

SEPERTI banyak peniaga tepi jalan, Nurahdafashihah Salim hilang semua sumber pendapatannya apabila ekonomi tergencat sepanjang lapan minggu perintah kawalan pergerakan (PKP) antara Mac hingga Mei.

Sekarang peniaga berumur 28 tahun ini berjaya meraih semula 70% daripada pendapatannya hasil menjual pau, sosej dan karipap seperti sebelum PKP dimulakan untuk membendung Covid-19.

Seperti banyak usahawan kecil, moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama enam bulan adalah talian hayat untuknya semasa dan selepas PKP.

Wang asal untuk pembayaran pinjaman kenderaan dan rumah itu digunakannya untuk menampung perbelanjaan makanan, barangan bayi, bil elektrik, dan sekarang untuk pelitup muka dan pencuci tangan.

Namun menjelang berakhirnya tempoh moratorium pada September, Nurahdafashihah bimbang pendapatan kecil beliau dan suami tidak cukup untuk menyuap keluarga dan pada masa sama melunaskan hutang bank.

“Kalau moratorium tidak disambung, banyak orang muda macam saya akan bergelut dengan keadaan ekonomi sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insight semasa ditemui di gerainya di Petaling Jaya.

“Sesetengah daripada kami mungkin akan terpaksa kena tarik kereta atau rumah oleh bank. Ini akan menambah derita kami. Bukannya kita tak mahu bayar tetapi keadaan susah sekarang.”

Di Pulau Pinang, peniaga kuetiau goreng Hardi Ismail jenuh memikirkan bagaimana beliau hendak mula membayar ansuran RM1,500 pinjaman rumahnya pada Oktober nanti.

“Tak tahu nak cari duit dekat mana bila moratarium tidak akan disambung… nak hutang pun segan dekat orang, kita dah tua,” katanya, yang berumur 61 tahun.

Perniagaan kuetiaunya baru hendak bertatih bangkit semula selepas PKP dilonggarkan manakala beliau juga menanggung isteri yang sedang menjalani rawatan dialisis kerana masalah buah pinggang.

“Setakat ini kita guna duit hasil berniaga. Itu rancangan saya. Selain jual di warung saya ambil tempahan kenduri tapi sekarang tak ada lagi tempahan untuk kenduri,” kata pesara kakitangan awam itu.

Hardi mempunyai tiga gerai yang dikendalikan bersama anak lelakinya. Daripada tiga gerai itu, hanya sebuah di Permatang Pauh yang boleh balik modal.

“Jenuh nak fikir. Kalau fikir lagi susah hati,” tambahnya.

Peniaga kuetiau goreng Hardi Ismail. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Julai, 2020.

Bukan hapus kira, minta tangguh saja

Pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional baru-baru ini mengumumkan penangguhan pembayaran balik pinjaman bank tidak akan dilanjutkan selepas September walaupun ada desakan daripada pelbagai kumpulan pekerja dan pengguna.

Menurut Jabatan Perangkaan moratorium itu telah meringankan beban kewangan ke atas 10 juta individu dan lebih kurang 80o,000 perniagaan kecil dan sederhana.

Jumlah pembayaran balik hutang yang tertangguh ialah RM38.4 bilion bagi peminjam individu dan RM19.3 bilion bagi perniagaan.

Semasa mengumumkan tempoh moratorium tamat, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang juga ahli perbankan berkata ekonomi yang dibuka semula bermula 4 Mei lalu membolehkan orang ramai dan peniaga meraih pendapatan. Ada juga yang sudah membayar semula pinjaman mereka, katanya.

Daripada 10 usahawan yang ditanya oleh The Malaysian Insight, hanya seorang iaitu tukang gunting Jufri Mohamed yang berkata beliau boleh membayar semula pinjamannya tanpa mengorbankan keperluan harian keluarga atau kos operasi perniagaan.

“Saya hanya dapat 30% daripada pendapatan sebelum ini. InsyaAllah, saya boleh bayar ansuran bulanan kereta kerana saya pinjam sikit saja. Tidak banyak,” kata peniaga berumur 37 tahun dari Puchong.

Peniaga lain seperti Nurahdafashihah dan Hardi hanya dapat balik modal untuk meneruskan perniagaan dan tanggungan.

Pendapatan peniaga bunga Pramala Selvarajah pula merosot sampai separuh selepas beliau kembali berniaga pada Jun kerana pelanggan tetapnya mengurangkan perbelanjaan mereka.

Perniagaannya bergantung pada majlis perkahwinan Hindu yang hanya akan bermula pada pertengahan Ogos kerana sekarang bukan masa yang sesuai.

“Bunga malai yang jadi sumber pendapatan utama bulanan tak laku,” katanya.

“Kuil pun tidak buat tempahan banyak kerana tidak banyak orang ke kuil sekarang. Pandemik ini beri kesan besar. Kerajaan kena faham, rakyat susah.”

Pendapatan peniaga bunga Pramala Selvarajah pula merosot sampai separuh selepas beliau kembali berniaga pada Jun. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Julai, 2020.

Pemilik bengkel motosikal Hazri Mohd Zin, 32, juga tidak tahu bagaimana hendak membayar semula ansuran bulanan pinjaman keretanya kerana perniagaannya belum juga pulih selepas tiga bulan ditutup.

Walaupun dianggap perkhidmatan perlu, hanya 30% hingga 40% daripada pelanggan tetapnya yang datang semula.

“Saya kena berjimat lagi untuk bayar balik pinjaman. Saya tak tahu nak jimat macam mana lagi sebab ini pun dah habis berjimat,” katanya.

Peniaga warung Sakunthala Narayanasamy mencadangkan agar bank melanjutkan moratorium sehingga akhir tahun. Ini juga sentimen yang disuarakan oleh banyak orang yang ditanya oleh The Malaysian Insight.

“Ini akan membantu kami menampung kerugian dan bernafas semula,” katanya, yang menjual karipap dan vadai.

Semasa PKP, Sakunthala, 50, terpaksa mengorek simpanan untuk memberi keluarganya makan.

“Simpanan ini untuk masa depan, untuk pendidikan anak-anak, untuk belanja rumah.

“Tetapi sebab saya tidak dapat apa yang saya biasa dapat, saya guna simpanan untuk tampung rugi dan bayar pekerja.

“Lagipun kami bukan yang minta pengecualian atau hapus hutang. Cuma minta tangguh bayar balik untuk tiga bulan lagi saja.” – 24 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen