Henti moratorium boleh jejas pemulihan ekonomi, kata persatuan


Sheridan Mahavera

Pelan pemulihan ekonomi bakal terjejas sekiranya moratorium pinjaman tidak dilanjutkan, kata persatuan peniaga dan kesatuan sekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2020.

HUJUNG tahun ini bakal menyaksikan lonjakan kes pemberhentian kerja dan kemuflisan sekiranya bank tidak melanjutkan moratorium pinjaman sehingga Disember, kata persatuan peniaga dan kesatuan sekerja swasta.

Lebih ramai pekerja berpendapatan rendah dan sederhana yang membentuk 80% pasaran kerja negara akan diberhentikan kerja, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

MTUC, kesatuan sekerja swasta terbesar negara itu, berkata susulan itu akan wujud lonjakan kes penyitaan rumah dan kereta dibuat pihak bank kerana pemiliknya kehilangan kerja dan tidak lagi mampu membayar pinjaman.

Majoriti pekerja bergaji rendah dan sederhana kini mendapat upah kurang berbanding sebelum wabak Covid-19 menjejaskan ekonomi dunia dan memaksa negara, termasuklah Malaysia, melaksanakan kawalan pergerakan, kata Presiden MTUC Abdul Halim Mansor.

Banyak syarikat perusahaan kecil dan sederhana akan terpaksa membuang pekerja mereka bagi membayar pinjaman bank walaupun pendapatan mereka kini hanyalah antara 30% sehingga 40% daripada pendapatan biasa mereka, kata Persatuan PKS.

MTUC dan Persatuan PKS itu mengulas pengumuman Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini yang moratorium enam bulan pinjaman tidak akan dilanjutkan.

Zafrul berkata peminjam wajar menghubungi bank masing-masing untuk membincangkan soal pelanjutan pinjaman atau pelepasan fi.

Bagaimanapun, MTUC, berkata kesan terus daripada langkah itu adalah kepada ekonomi kerana perbelanjaan akan berkurangan disebabkan kejatuhan kuasa pembeli, yang seterusnya menjejaskan pendapatan perniagaan.

Ahli ekonomi pula memberi amaran yang ekonomi akan merudum sekiranya kadar pengangguran naik dan mewujudkan kitaran ganas disebabkan pengguna tidak dapat berbelanja yang melemahkan permintaan dalam negara.

Permintaan lemah akan menyebabkan lebih banyak syarikat ditutup dan ramai akan hilang kerja, kata badan pemikir Socio-Economic Research Centre.

SERC berkata pemulihan ekonomi Malaysia pada 2021 sangat bergantung kepada kehilangan pekerjaan pada enam bulan kedua 2020.

Disebabkan itulah MTUC bertegas yang moratorium perlu dilanjutkan, terutama untuk pekerja berpendapatan rendah kerana ia perlu untuk pemulihan ekonomi, kata Abdul Halim lagi.

“Kita bukannya minta pinjaman tak dibayar, hanya tangguh sampai ekonomi pulih tahun depan.

“Ramai pekerja yang gaji dipotong sejak mula bekerja semula pada pertengahan Mei. Ada pekerja yang hanya terima RM600 subsidi diberi kerajaan.”

Di bawah Program Subsidi Upah, Putrajaya membayar majikan hampir RM600 untuk seorang pekerja yang bergaji di bawah RM4,000 sebulan.

Menurut Jabatan Perangkaan, program itu menyelamatkan 2.7 juta pekerjaan. – 21 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen