Putrajaya tidak akan lanjut moratorium pinjaman, kata menteri


Noel Achariam Kamles Kumar

Moratorium pinjaman bank tidak akan dilanjutkan selepas ia berakhir September depan walaupun, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2020.

MORATORIUM pinjaman tidak akan dilanjutkan selepas ia berakhir September depan walaupun ada desakan beberapa pihak untuk memanjangkan tempoh pembayaran balik, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kebanyakan perniagaan sudah dibuka semula dan menjana pendapatan.

Katanya, kebanyakan pekerja juga sudah kembali bekerja dan memperoleh pendapatan.

“Moratorium ini akan berakhir hujung September. Dengan pembukaan semula ekonomi pada 4 Mei lalu, orang ramai dan perniagaan sudah mula memperoleh pendapatan.

“Ada juga mereka juga sudah mula dapat membayar semula pinjaman mereka,” katanya kepada Dewan Rakyat pada sesi soal jawab hari ini.

Tengku Zafrul menjawab soalan Ahmad Maslan (Umno-Pontian) berkenaan sama ada moratorium akan dilanjutkan selepas September.

Menteri itu berkata peminjam boleh mendapatkan nasihat daripada bank tentang bagaimana hendak membuat lanjutan pinjaman atau pengecualian yuran.

“Langkah berikutnya ialah perbincangan dengan bank untuk bantuan bersasar. Contohnya ialah melanjutkan tempoh pinjaman bagi mengurangkan bayaran ansuran bulanan.

“Satu lagi contoh ialah untuk meminda terma dan syarah mengurangkan duti yang dikenakan dan pengecualian lain sehingga peminjam stabil,” kata Tengku Zafrul.

Beliau turut mencadangkan orang ramai meminta bantuan agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Kerajaan juga tidak ada rancangan untuk memberi suntikan tunai baharu kepada ekonomi kerana pakej rangsangan Prihatin dan Penjana sudah mencukupi.

“Ia bergantung kepada proses pemulihan ekonomi negara. Buat sementara waktu, kita tidak ada rancangan untuk menambah pakej Prihatin dan Penjana,” katanya.

Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) mendesak supaya moratorium pinjaman bagi peniaga kecil dan sederhana dan individu dilanjutkan enam bulan lagi.

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng juga menggesa kerajaan melanjutkan moratorium itu bagi menyelamatkan perniagaan dan pekerjaan. – 21 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen