Lebih ramai akan hilang kerja tahun ini, kata penganalisis 


Sheridan Mahavera

Pemberhentian pekerja dijangka akan terus berlarutan sehingga suku ketiga daripada Julai hingga September. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2020.

KADAR pengangguran boleh meningkat sehingga 6.5%, iaitu bersamaan satu juta orang akan kehilangan kerja, berikutan kemelesetan ekonomi berpunca daripada pandemik Covid-19, kata Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC).

Ini berdasarkan kadar pengangguran 5.0% pada April, yang merupakan paling tinggi dalam tempoh 30 tahun, kata Pengarah Eksekutif SERC Lee Heng Guie.

Berdasarkan data daripada kerajaan, kadar pengangguran yang dipaparkan SERC meningkat daripada 5% pada April kepada 5.5% hingga 6.5% pada suku kedua dan ketiga tahun ini, katanya.

Lee berkata, sekiranya pemberhentian kerja tidak berkurangan pada suku ketiga dan keempat serta lebih ramai lagi yang akan hilang kerja, ini boleh mencetuskan kitaran yang mampu memberi kesan kepada pemulihan ekonomi Malaysia pada 2021.

Dalam jangka pendek, Putrajaya perlu fokuskan untuk mengurangkan kadar pengangguran dengan membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bertahan sepanjang tahun dan mewujudkan peluang pekerjaan dengan merancakkan lagi pelaburan.

Daripada 15.7 bilion tenaga kerja, jumlah pengangguran meningkat kepada 778,800 individu pada April 2020.

Ini menyebabkan kadar pengangguran meningkat 5% pada April 2020 berbanding 3.9% pada Mac dan 3.3% pada Februari sebelum negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangani koronavirus.

Kira-kira 53,952 individu kehilangan kerja antara Januari dan Jun 2020, menurut data Skim Insurans Pekerjaan (SIP), kebanyakannya berpunca daripada PKP yang menutup hampir semua ekonomi selama enam minggu bermula 18 Mac.

Mereka yang diberhentikan adalah 23% dalam sektor pembuatan, 15% dalam industri penginapan dan makanan dan minuman serta 14% dalam perkhidmatan borong dan peruncitan.

58% yang diberhentikan adalah golongan profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik, kata Lee.

Daripada jumlah itu katanya, 62% daripada mereka menerima gaji bulanan di bawah RM3,000. Bagaimanapun, kadar kehilagan kerja akan menjadi lebih teruk sekiranya Putrajaya tidak meyediakan program subsidi upah di bawah skim Prihatin dan Penjana.

“Setakat 6 Julai, 310,622 majikan diberi kelulusan untuk Program Subsidi Upah (PSU), yang memberi faedah kepada 2.5 juta pekerja.”

Dalam pakej rangsangan ekonomi Penjana, kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan untuk melanjutkan PSU lagi tiga bulan iaitu sehingga Ogos tahun ini.

PSU akan menyaksikan syarikat kecil dan sederhana diberikan subsidi RM600 bagi setiap pekerja dengan syarat mereka tidak diberhentikan.

Kehilangan kerja akan terus berlarutan sehingga suku ketiga daripada Julai hingga September namun kadar itu boleh dikurangkan sekiranya ekonomi dipulihkan tahun depan, kata Lee.

Ini kerana kehilangan pekerjaan mengakibatkan kehilangan pendapatan bagi isi rumah sehingga melumpuhkan penggunaan dan perbelanjaan mereka.

“Ini menyebabkan permintaan domestik yang lebih lemah dan menyebabkan kehilangan pekerjaan dalam industri yang pada awalnya tidak dipengaruhi oleh PKP dan Covid-19,” katanya.

“Apabila ini terjadi, permintaan akan semakin lemah di pasaran yang menyebabkan lebih banyak perniagaan ditutup dan pekerja kehilangan kerja. Ini adalah kitaran yang harus dicegah.

“Jadi, penting untuk mengekalkan pendapatan dan pekerjaan mereka yang masih bekerja.”

Untuk itu, SERC mencadangkan kerajaan melanjutkan subsidi upah Penjana dan skim perlindungan pekerja dalam belanjawan tahun depan yang akan dibentangkan pada awal November.

Insentif Penjana untuk syarikat memindahkan operasi mereka ke Malaysia juga diharapkan dapat menghasilkan lebih banyak pekerjaan, katanya.

Di bawah Penjana, syarikat asing yang memutuskan untuk memindahkan operasi mereka ke Malaysia akan menikmati kadar cukai 0% selama 10 tahun untuk pelaburan berjumlah dari RM300 hingga RM500 juta, dan 15 tahun bagi mereka yang melabur lebih dari RM500 juta.

Untuk mendorong perniagaan baru, bantuan kewangan akan diberikan dalam bentuk potongan cukai pendapatan sehingga RM20,000 setahun selama 3 tahun penilaian untuk PKS yang baru dibentuk antara 1 Julai 2020 dan 31 Disember 2021.

“Lebih cepat untuk kita wujudkan peluang pekerjaan sangat penting bagi mempertahankan momentum pemulihan, itulah sebabnya kita sangat berharap dapat melihat industri dan sektor bergerak di sini dan mewujudkan permintaan untuk lebih banyak pekerja,” tambah Lee. – 10 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen