China sedia runding tuntutan wilayah bertindih Laut China Selatan, kata laporan


Kapal pengawal pantai China dilihat di perairan Beting Patinggi Ali pada Mei 2019. China berkata ia sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk menyelesaikan isu tuntutan wilayah bertindih melalui rundingan mesra dua hala. – Gambar Facebook, 18 Julai, 2020.

CHINA sedia berbincang dengan Malaysia melalui perundingan mesra bagi menyelesaikan sebarang isu tuntutan wilayah bertindih di Laut China Selatan, lapor Malaysiakini.

Laporan memetik jurucakap kedutaan China di Kuala Lumpur berkata isu berkenaan sedang ditangani kedua-dua negara menerusi dialog dan rundingan.

“China sentiasa sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk lebih saling mempercayai dan terus menyelesaikan isu berkaitan dengan cara yang betul melalui rundingan mesra dua hala.

“Kami mengharapkan kedua-dua pihak dapat bekerjasama melaksanakan Deklarasi Tata Laku dan menggesa rundingan Kod Tata Laku untuk menjamin keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan,” jurucakap kedutaan China, Tang Tang, dipetik berkata.

China dan negara-negara Asean menandatangani Deklarasi Tatalaku (DOC) Pihak-pihak di Laut China Selatan pada 2002, satu dokumen asas bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di laut itu.

Deklarasi tersebut menggesa pihak-pihak berkepentingan meningkatkan saling percaya dan mengamalkan kawalan diri dalam menjalankan aktiviti yang boleh mencetus perselisihan di Laut China Selatan.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 mendedahkan kapal pengawal pantai China dan tentera laut China dikesan menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019, khususnya di kawasan Beting Patinggi Ali, di Sarawak. 

Susulan pendedahan itu, Menteri Luar Hishammuddin Hussein kemudian berkata tiada lagi kapal pengawal pantai dan tentera laut China menceroboh perairan negara setakat ini.

Beliau juga menjelaskan kenyataannya yang merujuk kepada keberadaan West Capella dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia antara April hingga Mei.

Katanya pada masa itu, kapal peninjau China, kapal pengiring Pengawal Pesisir China dan kapal militia menangkap ikan berada dalam ZEE Malaysia.

“Ini diuruskan dalam tempoh 100 hari pertama saya di kementerian dan kapal-kapal itu meninggalkan ZEE kita selepas usaha campur tangan diplomatik.

“Berhubung kenyataan bekas menteri luar, pendirian kita mengenai Laut China Selatan tidak berubah sejak saya menerajui Wisma Putra.

Bekas menteri luar Anifah Aman menuduh Hishammuddin membuat kenyataan mengelirukan mengenai kapal China di perairan Malaysia di Laut China Selatan.

Anifah semalam mempersoalkan kenapa Hishammuddin tidak dapat menyatakan pendirian Putrajaya sekiranya sikap Malaysia terhadap pencerobohan China tidak berganjak.

“Apa yang menyekat menteri daripada secara khusus dan terbuka menyatakan rasa kurang senang kita terhadap kegiatan kapal survei Haiyang Dizhi 8 milik China dan flotilanya di perairan Malaysia antara April dan Mei?

“Kenapa kementerian tidak memberi respons atau membalas nota diplomatik dari Republik Rakyat China yang membantah sebahagian hujah Malaysia kepada Suruhanjaya Sempadan Pentas Benua?” tanya Anifah.

Menurut Anifah, Malaysia harus konsisten membantah tuntutan China terhadap kawasan perairan negara. – 18 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen