Kenyataan Hishammuddin mengenai isu pencerobohan kapal China mengelirukan, kata Anifah


Bekas menteri luar negeri Anifah Aman berkata kenyataan Hishammuddin Hussein mengenai kapal China di perairan Malaysia di Laut China Selatan mengelirukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2020.

BEKAS menteri luar negeri Anifah Aman sekali lagi menuduh penggantinya Hishammuddin Hussein membuat kenyataan mengelirukan mengenai kapal China di perairan Malaysia di Laut China Selatan.

“Walaupun saya menghargai penjelasan menteri, West Capella tidak disebut semasa sidang akhbarnya atau mana-mana laporan berita.

“Oleh itu tidak semestinya pihak menteri menyatakan bahawa saya salah faham apa yang dia katakan ketika dia sendiri harus dipersalahkan kerana tidak jelas dan telus dalam kenyataannya,” kata ahli politik Sabah itu dalam satu kenyataan hari ini.

Anifah yang merupakan bekas ahli Parlimen Kimanis semalam menuduh Hishammuddin berbohong apabila mengatakan tidak ada lagi pencerobohan oleh kapal China di perairan Malaysia. 

Hishammuddin membuat kenyataan itu selepas Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan kapal China menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.

Hishammuddin semalam menjelaskan kenyataannnya yang katanya merujuk pada keberadaan West Capella dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia antara April hingga Mei.

Katanya pada masa itu, kapal survei China, kapal pengiring Pengawal Pesisir China dan kapal militia menangkap ikan berada dalam ZEE Malaysia.

“Ini diuruskan dalam tempoh 100 hari pertama saya di kementerian dan kapal-kapal itu meninggalkan ZEE kita selepas usaha campur tangan diplomatik.

“Berhubung kenyataan bekas menteri luar, pendirian kita mengenai Laut China Selatan tidak berubah sejak saya menerajui Wisma Putra.

“Malah, jika beliau maklum konteks kenyataan saya semalam mengenai kegiatan West Capella seperti yang dijelaskan, saya yakin beliau tidak akan salah faham dan memberi reaksi seperti itu,” kata Hishammuddin.

Anifah hari ini mempersoalkan kenapa Hishammuddin tidak dapat menyatakan pendirian Putrajaya sekiranya sikap Malaysia terhadap pencerobohan China tidak berganjak.

“Apa yang menyekat menteri daripada secara khusus dan terbuka menyatakan rasa kurang senang kita terhadap kegiatan kapal survei Haiyang Dizhi 8 milik China dan flotilanya di perairan Malaysia antara April dan Mei?

“Kenapa kementerian tidak memberi respons atau membalas nota diplomatik dari Republik Rakyat China yang membantah sebahagian hujah Malaysia kepada Suruhanjaya Sempadan Pentas Benua?” tanya Anifah.

Menurut Anifah, Malaysia harus konsisten membantah tuntutan China terhadap kawasan perairan negara.

“Kita perlu berani untuk mempertahankan sikap … terhadap salah satu rakan rapat seperti China yang sememangnya salah sebuah negara sahabat.”

Anifah juga secara menyindir mengucap tahniah kepada Hishammuddin kerana “berjaya mengukuhkan hubungan dua hala dalam masa 100 hari hanya dengan panggilan telefon dan sidang video.”

Katanya, semasa jadi menteri luar negeri selama sembilan tahun, beliau melakukan usaha itu dengan membuat lawatan untuk mesyuarat dan rundingan.

“Saya tabik menteri luar yang baharu kerana dapat buat apa yang saya tidak dapat lakukan hanya dalam masa 100 hari dengan panggilan telefon dan sidang video sahaja.” – 17 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen