Kes pindah alamat tentera: DAP mahu saman SPR


Ikhwan Zulkaflee

Tindakan saman itu diambil ekoran rungutan pengadu yang tidak berpuas hati dengan perjalanan sesi pendengaran bantahan, yang masuk hari kedua hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2017.

DAP mahu mengheret Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke mahkamah untuk mencabar keputusan agensi itu menolak bantahan terhadap pemindahan tentera dan keluarga mereka ke kem tentera yang belum siap di Segamat.

Tindakan saman itu diambil ekoran rungutan pengadu yang tidak berpuas hati dengan perjalanan sesi pendengaran bantahan, yang masuk hari kedua hari ini.

Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo berkata, saman itu akan difailkan selepas sesi pendengaran tamat pada 10 Disember ini.

Gobind, yang hadir ke sesi pendengaran hari ini, berkata ada beberapa perkara yang tidak adil berlaku pada sesi pendengaran itu, termasuk pengadu tidak dibenarkan ditemani peguam.

“Ada juga pengadu yang meminta supaya penterjemah atau wakil dibenarkan masuk untuk menterjemah tetapi itu pun tidak dibenarkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mendakwa SPR gagal bertindak sebagai “pengadil” sebaliknya nampak memihak dalam bantahan yang dikemukakan oleh pengadu.

“SPR bertindak seperti pemain dan bukan bertindak macam pengadil dalam kes ini. Seharusnya SPR benarkan peguam menemani pengadu tetapi sekarang ini sidang pendengaran ini tak benarkan mana-mana pengadu masuk dengan peguam,” katanya ketika dihubungi oleh The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen Kluang itu berkata pengadu diminta mengemukakan bukti yang menyokong bantahan terhadap tentera dan keluarga mereka yang dipindahkan, namun, pihak yang dibantah tidak pula diminta menunjukkan pengesahan alamat mereka bermastautin.

“Kami difahamkan ada antara tentera ini masih bermastautin di Kem Sikamat di Seremban. Mereka tak tunjukkan bukti di mana mereka telah berpindah dan kem ini (Kem Segamat) juga belum siap lagi. Ini tidak adil.”

Pada 31 Oktober, DAP mendapati yang 1,051 pengundi didaftarkan di sebuah kem tentera yang masih belum siap di Segamat, Johor dan 28 lagi di Kem Tentera Rejimen 501, Segamat.

Perkara ini turut dibantah Bersih yang mempersoalkan perkara tersebut kerana menurut Perlembagaan Persekutuan, pendaftaran itu tidak sah kerana pengundi hanya boleh mendaftar sekiranya sudah tinggal di kawasan itu.

Liew turut berkata kes pemindahan tentera ini bukan sahaja berlaku di Kem Segamat di Johor, malah perkara sama turut turut berlaku di Kem Hutan Melintang, di Bagan Datuk, Perak.

Segamat merupakan kawasan Parlimen yang kini disandang oleh Menteri Kesihatan S. Subramaniam manakala Parlimen Bagan Datuk pula disandang oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri.

Dalam pada itu, Gobind, yang juga Ahli Parlimen Puchong, berkata hansard parlimen bertarikh 27 November mengesahkan bahawa Kem Segamat belum siap dibina.

“Apabila (pengadu) masuk disitu (sesi pendengaran), pengadu diminta untuk buktikan bahawa kem itu belum (siap) dibina.

“Kita memang ada hansard dari Parlimen di mana pada 27 November perkara itu (kem belum siap dibina) disahkan oleh timbalan menteri (Johari Baharum). Walaupun sedemikian, (pengadu) masih diminta kemukakan bukti, jadi mereka (pengadu) setakat itu sajalah mereka boleh kemukakan.

“Ini adalah bukti yang terbaik kerana timbalan menteri ketika itu adalah jurucakap kerajaan,” katanya. – 5 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen