Kem tentera belum siap tapi 1,079 pengundi didaftarkan


1,079 anggota tentera dan pasangan di sebuah kem tentera yang masih belum siap di Johor didaftarkan sebagai pengundi kawasan itu dan ia melanggar Perlembagaan Persekutuan, kata Bersih. Perkara itu perlu disiasat di bawah Seksyen 3(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana kesalahan penipuan pendaftar pemilih.– Gambar AFP, 3 November, 2017.

POLIS dan peguam negara perlu menyiasat pendaftaran pengundi yang terdiri daripada 1,079 anggota tentera dan pasangan di sebuah kem tentera yang masih belum siap di Johor, kata Bersih.

Bersih berkata perkara itu perlu disiasat di bawah Seksyen 3(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana kesalahan penipuan pendaftar pemilih.

“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan Kementerian Pertahanan perlu tampil memberi penjelasan tentang sebab dan bagaimana perkara ini boleh berlaku, dan samada perkara sama telah berlaku di kem-kem tentera yang lain.

“SPR perlu mengambil tindakan untuk membatalkan pemindahan dan pendaftaran baru ini sebelum daftar pemilihan tambahan diwartakan,” kata Bersih dalam satu kenyataan.

Pada 31 Oktober, DAP mendapati yang 1,051 pengundi didaftarkan di sebuah kem tentera yang masih belum siap di Segamat, Johor dan 28 lagi di Kem Tentera Rejimen 501, Segamat.

Bersih mengatakan memandangkan kem tentera itu masih belum siap, menurut Perlembagaan Persekutuan, pendaftaran itu tidak sah kerana pengundi hanya boleh mendaftar sekiranya dia sudah tinggal di kawasan itu.

“Oleh itu, disebabkan Kem Segamat masih belum siap dibina, persoalan serius timbul apabila 1,079 pengundi itu bertukar pendaftaran ke Kem Segamat yang terletak di P140 Segamat, iaitu sebuah kerusi parlimen yang dimenangi oleh Menteri Kesihatan, Subramaniam dengan hanya1,217 undi,” kata Bersih.

Subramaniam menang di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 2013 dengan majoriti tipis 1,217. Beliau menang 20,037 undi sementara pesaingnya yang ketika itu Ketua PKR Johor, Chua Jui Meng pula menang 18,820 undi.

Bersih juga mendakwa yang SPR membentuk dua lokaliti baru di kem Segamat hanya untuk mendaftarkan pengundi ini dan tidak memeriksa dengan baik sebelum mendaftarkan pengundi itu di sana.

“SPR juga gagal membuat semakan terhadap 1,079 permohonan-permohonan ini seperti mana yang diperuntukkan dalam Peraturan 13 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Kegagalan-kegagalan seperti inilah yang menyebabkan banyak pengundi hantu terkandung dalam daftar pemilih,” kata Bersih. – 3 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen