Tarbiah transgender: Dulu berhikmah, sekarang kekerasan?


Mohd Syazreen Abdullah

KELOMPOK minoriti seperti golongan transgender sekali lagi diuji. Sebagai manusia yang mempunyai hati nurani, kita semua harus bersimpati nasib yang menimpa mereka. Bukan meraikan kegembiraan. Barangkali, masyarakat menghukum mereka sebagai orang kotor, jijik dan berdosa.

Namun, di atas langit, itu kerja Tuhan. Dia Yang Maha Mengetahui. Yang layak menghukumi dan menentukan hamba-Nya. Bukan manusia. Bahkan, tidak ada manusia sempurna di dunia ini. Termasuk agamawan.

Tugas kita di dunia menjaga kemanusiaan – hablumminannas. Biarlah urusan hablumminallah, di langit yang tentukan.

Kerana minoriti, mereka terus dibuli. Hak kebebasan mereka untuk hidup aman dan damai seperti orang lain diganggu dan dipersoalkan. Keselamatan mereka tiada jaminan. Malah, bukan tidak dilindungi, bahkan tidak dibela.

Hidup menjadi seorang transgender sebaliknya dipersoalkan. Budaya buli atau jenayah kebencian ini akhirnya menjadi sebuah pegangan dalam masyarakat kita bahawa transgender itu layak untuk didiskriminasikan.

Buktinya, baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad memberi “lesen penuh” kepada penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengambil tindakan terhadap transgender.

Desakan ini datang seolah-olah dengan pakej yang lengkap daripada menteri agama, kononnya mahu mereka “ditarbiah”. Ironi, ingin tarbiah tetapi menceroboh hak asasi manusia.

Perbuatan ini melanggar rukun demokrasi itu sendiri iaitu perlindungan hak asasi manusia. Maka, perbuatan menteri dan orang-orang agama ini jelas tidak beradab!

Apakah jaminan lesen ini tidak akan menceroboh hak kehidupan mereka yang sepatutnya hidup dengan aman?

Apakah menteri agama jamin bahawa mereka tidak akan dikasari dan dicederakan?

Hal ini sangat mendukacitakan. Suara bantah ini daripada orang yang beragama. Maqasid apakah yang dipegang oleh mereka ini yang sepatutnya lebih manusiawi dan berhikmah antara sesama manusia. Bukan sikap semberono begini, sekalipun tujuan pendidikan.

Arahan ini sekali gus mengiyakan bahawa kebencian, tanggapan buruk dan diskriminasi itu wujud dalam masyakarat.

Meskipun, atas tujuan “tarbiah”, ia sekadar strategi yang hanya mengaburi tindakan kekerasan. Akhirnya jelas memisahkan dan menjauhkan masyarakat dengan transgender. Walau apa pun alasan,  ia tidak mengizinkan dengan cara kekerasan. Ini jelas bertentangan dengan spiritual agama yang menolak budaya diskriminasi yang tidak berperikemanusiaan!

Jelas, Islam melarang pencerobohan hak asasi manusia.

Dulu berhikmah, sekarang kekerasan?

Bagaimanapun, tindakan menteri agama ini agak mengejutkan. Saya menghormati dan mengenali menteri agama ini seorang yang menyantuni kelompok transgender dalam dakwahnya.

Buktinya, beliau sendiri pernah turun padang melayani golongan transgender secara berhikmah. Sementara yang lain, orang agama membuang kelompok ini.

Beliau mendidik supaya kelompok transgender menjadi orang yang baik sebagaimana seruannya yang acapkali kepada semua orang tanpa mengenal agama, bangsa dan kaum.

Ceramah beliau dalam program “Masih Ada Yang Sayang” yang mendekati golongan ini pada 2017 itu ternyata berbeza dengan tindakan beliau lakukan baru-baru ini.

Malah, dulu beliau mendekati kelompok ini dengan ramah. Jauh sekali kekerasan. Malangnya, hari ini sebaliknya yang berlaku.

Masa itu, barangkali beliau mengingati agama sangat melarang umatnya daripada mencerobohi hak seseorang dengan cara kekerasan. Sebaliknya merapatkan hubungan silaturahim. Beliau sendiri hadir bukan untuk menghukum, tetapi mencari jalan kebaikan bersama. Tidak sekali menghukum transgender.

Kisah Gus Dur membela yang lemah

Tidak banyak agamawan yang sudi untuk menyingsing lengan meraikan minoriti. Khususnya golongan transgender. Jauh sekali memperjuangkan dan membela nasib mereka yang seringkali ditindas dan dipijak-pijak oleh masyarakat, mahupun desakan politik kekuasaan majoriti.

Kebencian majoriti terhadap mereka itu meluap-luap. Yang tinggal hanya agamawan yang marah-marah. Sebagaimana, perbuatan menteri agama baharu ini menjauhkan lagi kelompok transgender daripada ruang menerima kebaikan.

Mereka ini manusia. Yang mempunyai perasaan, emosi dan keinginan. Termasuklah kita sendiri, sebagai manusia tidak akan suka dengan layanan yang menyimpang daripada kemanusiaan.

Orang yang berbuat baik, pasti akan dikenang kebaikannya. Apatah lagi membela ketika dalam kesusahan.

Hal ini, kita boleh pelajari daripada kisah yang sangat popular di Indonesia. Mengenang Abdurrahman Wahid, atau dikenali Gus Dur, susuk yang digelar bukan saja “bapa kemanusiaan”, tetapi “bapa kemanusiaan untuk semua”.

Gelaran ini diberikan oleh salah seorang transgender yang terkenal sebagai penghibur, iaitu Dorce Gamalama.

Kisah popular beliau, seorang transgender yang disisih dan dimaki habis-habisan oleh masyarakat. Termasuk agamawan. Namun di tengah kebencian yang meluap-luap, muncul Gus Dur membelanya. Seorang ulama yang tidak pernah mempersoalkan status transgender beliau. Sebaliknya melayani dengan penuh ramah lagi kemanusiaan.

Menurut Dorce, Gus Dur-lah yang mendukung dan membebaskan dirinya untuk memilih keperibadian yang dijalaninya sekarang ini.

Katanya:“Dia juga membela saya di saat memilih, apa saya akan jadi perempuan atau laki-laki pada saat itu. Gus Dur tahu dengan siapa dia berbicara dan dia melayani dengan manusiawi. Gus Dur tidak diskriminasi dan menyerang transgender. Gus Dur melindungi saya di dunia ini.”

Ketika diwawancara kisah mengenang Gus Dur, beliau menangis dan tersedu kerana mengenangkan betapa murni dan baiknya akhlak dan layanan Gus Dur kepadanya. Beliau mengakui Gus Dur sangat menyayangi dirinya. Termasuk semua kelompok transgender yang dibela oleh Gus Dur. Sementara manusia yang lain menghina dirinya.

Demikian, kemanusiaan semakin hari kian kering itu sangat memerlukan sosok seperti Gus Dur untuk kembali merayakan kemanusiaan. Nilai-nilai Gus Dur penting untuk kita kembali refleksikan. Sebagaimana sikap beliau memuliakan manusia, siapapun dia. Malah, Gus Dur tidak membenci LGBT. Kemanusiaan itu tidak rasis.

Ternyata, watak agamawan sekarang ini tidak banyak seperti yang dimiliki Gus Dur. Yang banyak mempunyai semangat dakwah yang melebihi daripada ilmu. Tanpa ilmu, akhirnya menceroboh hak asasi manusia. Membuli minoriti dengan kekerasan.

Di akhir wawancara itu, katanya walaupun dihina dan dimaki bertubi-tubi, beliau yakin Allah itu tidak tidur dan berbuat baik kepada semua orang.

Merayakan kemanusiaan

Mencontohi Gus Dur, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menghalang orang transgender ini memilih hidup untuk menjadi transgender. Tidak boleh sesuka hati untuk menentukan pilihan mereka. Jauh sekali mahu mengheret mereka ini ke ruang penghakiman, kekerasan dan sekatan moral.

Kita harus menghargai terhadap perbezaan identiti dan seksual. Jauh sekali hendak bersetuju dengan perbuatan memberikan lesen penangkapan kepada kelompok transgender. Tatkala, lesen itu merupakan pintu segala kekerasan.

Demikian, dengan mencontohi kisah perjalanan hidup seorang ulama yang merayakan kemanusiaan ini bukan sahaja dirindui dan disayangi oleh semua kelompok dan iman, malah menjadi penting sebagai teladan moral dalam kehidupan.

Perjalanan hidup Gus Dur mengajar kita untuk fokus mencari kedamaian, bukan permusuhan. Hidup yang singkat ini dihargai dengan sikap saling kasih mengasihi. Bukan kebencian – merayakan kemanusiaan!

Maka dengan itu, menteri agama, agamawan, dan kita semua mesti mengambil pelajaran daripada sikap kemanusiaan daripada seorang ulama seperti Gus Dur. Kisah yang mengingatkan kita bahawa kehidupan ini menjadi sangat indah andai kita jauh daripada jenayah kebencian. Sebaliknya memperbanyakkan teman.

Demikian, dunia ini singkat dan buntukan sikap kasih sayang. Tolak jenayah kebencian, rayakan kemanusiaan. – 16 Julai, 2020.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen