Audit dedah kontraktor makanan sekolah palsukan penyata bank


Aminah Farid Ragananthini Vethasalam

Laporan Ketua Audit Negara 2018 siri ketiga mendedahkan pemalsuan penyata bank oleh syarikat yang diberi kontrak program Bekalan Makanan Bermasak untuk sekolah berasrama yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

LAPORAN Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 hari ini mendedahkan pemalsuan penyata bank oleh syarikat yang diberi kontrak program Bekalan Makanan Bermasak (BMB) untuk sekolah berasrama yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2019, yang dianugerahkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Laporan itu menyebut KPM tidak membuat pengesahan salinan penyata bank dengan pihak bank sebelum surat setuju terima dikeluarkan kepada petender.

“Ini menyebabkan berlakunya pemalsuan penyata bank oleh petender bagi mendapatkan tender kerajaan,” laporan itu dipetik.

Laporan juga mendedahkan pengesahan dengan pihak bank oleh KPM mendapati sebanyak 359 daripada 793 penyata bank milik petender yang berjaya mendapat kontrak adalah palsu.

Selain itu, laporan juga berkata KPM serius menangani isu ini dan perkhidmatan kontraktor di SMU (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah dan SMK Sultan
Ibrahim (1) yang terlibat dengan pemalsuan penyata bank masing-masing telah ditamatkan pada 14 dan 16 Ogos 2019.

“Laporan polis juga telah dibuat oleh Setiausaha Bahagian Perolehan KPM pada 14 Ogos 2019 terhadap petender yang disahkan mengemukakan penyata bank palsu di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Putrajaya.”

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah mendapatkan maklumat lanjut daripada KPM berhubung proses perolehan tender bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, tambah laporan itu.

Semakan audit telah dijalankan ke atas 71 kontrak dengan nilai perolehan berjumlah RM238.77 juta melibatkan 42 sekolah yang dilawati bagi tempoh 2016 sehingga 2018.

Perkara lain yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 ini adalah kelewatan menandatangani kontrak yang menyebabkan 33 sekolah telah membuat pembayaran melebihi tiga kali dalam empat bulan pertama selepas surat setuju terima (SST) dikeluarkan dan sebelum kontrak formal ditandatangani.

Semakan audit mendapati 67 kontrak BMB lewat ditandatangani sehingga 446 hari. 

Jumlah kontrak yang perlu ditandatangani yang banyak dan kelewatan penyediaan Bon Pelaksana oleh kontraktor dikenal pasti antara punca kontrak lewat ditandatangani. – 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen