SPRM tak profesional serbu ibu pejabat, kata Amanah


Ibu pejabat Amanah diserbu SPRM pagi tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2020.

IBU pejabat Amanah diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pagi tadi, kata Setiausaha Agungnya Mohd Hatta Ramli.

Serbuan itu dipercayai ada kaitan dengan penahanan seorang bekas pegawai bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu, atas tuduhan menerima suapan dalam kontrak pertahanan bernilai RM56 juta.

“Tindakan geledah itu telah dilakukan tanpa dikemukakan terlebih dahulu dokumen waran geledah kepada pegawai keselamatan Wisma Amanah Negara. Apabila ditanya, mereka menjawab waran itu akan diserahkan kepada Saudara Azhar (Mohd Azhar bin Che Mat Dali, Setiausaha Politik Mohamad Sabu) yang telah dibawa bersama.

“Amanah menuntut agar SPRM bersikap profesional dalam menjalankan tugas siasatan dengan mengikut lunas-lunas perundangan dan prosedur dengan teratur.

“Amanah memandang serius tindakan SPRM yang bersifat keterlaluan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas pegawai presiden Amanah itu direman enam hari untuk membantu siasatan berkaitan kontrak pertahanan bernilai RM56 juta, hari ini.

Beliau disiasat kerana disyaki menerima suapan untuk kontrak yang dianugerahkan secara terus kepada sebuah syarikat pada Ogos lepas.

Kontrak itu berkaitan sebuah kementerian yang tidak dinamakan.

Ketika itu, beliau bekerja dengan Mohamad, yang merupakan menteri pertahanan.

Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi membenarkan permohonan SPRM untuk mereman suspek sehingga 13 Julai.

Sumber berkata lelaki berusia 49 tahun itu ditahan pada 8 malam semalam apabila hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan.

SPRM juga merampas lebih RM70,000 dan dokumen berkaitan kes itu. – 8 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen