Bekas setpol Mat Sabu ditahan SPRM


Mohd Farhan Darwis

Bekas setiausaha politik Mohamad Sabu ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 8 malam semalam selepas hadir memberi keterangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2020.

SEORANG bekas setiausaha politik kepada bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu ditahan reman bagi kes dakwaan suapan untuk projek keselamatan dianggarkan bernilai lebih RM56 juta.

Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lelaki tersebut bermula hari ini sehingga 13 Julai

Perintah dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim bagi siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM itu.

Menurut sumber, lelaki berusia 49 tahun tersebut ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 8 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.

Sumber menyebut, siasatan berkaitan dakwaan suspek menerima rasuah jutaan ringgit daripada sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan projek sistem tersebut secara rundingan terus.

Projek didakwa diperolehi dari sebuah kementerian pada sekitar Ogos 2019.

Katanya lagi, SPRM turut menyita pelbagai mata wang tunai yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 serta dokumen berkaitan projek berkenaan. 

Pada Ogos 2018, seorang pegawai kanan kepada presiden Amanah itu turut disiasat SPRM.

Siasatan itu membabitkan kemungkinan adanya unsur salahguna kuasa dalam membayar hutang pegawai berkenaan sebanyak RM800,000.

Pada September, Setiausaha Agung Amanah Annuar Tahir kemudian mengesahkan isu itu selesai dan pegawai terbabit mengangkat sumpah sebagai setiausaha politik kepada Mohamad setelah melalui tapisan Pejabat Perdana Menteri.

Pegawai berkenaan diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi sebelum Amanah ditubuhkan. – 8 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen