Komuniti Tukang Jahit perkasa golongan wanita


Aminah Farid

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Komuniti Tukang Jahit Yap Sue Yii bercakap ketika ditemui di pejabatnya di Ampang, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 Julai, 2020.

KOMUNITI Tukang Jahit (KTJ) merupakan perusahaan sosial yang kini berusia dua tahun berfungsi sebagai platform untuk memperkasakan wanita daripada semua lapisan masyarakat.

Diasaskan oleh Yap Sue Yii, KTJ mempunyai kira-kira 50 tukang jahit dari rumah, kesemuanya berpusat di Lembah Klang yang kebanyakannya merupakan ibu tunggal dan suri rumah.

Perusahaan sosial ini ditubuhkan bermula dari perniagaan fesyen pertama Sue Yii iaitu Royal Demure.

Perniagaan itu pada dasarnya berfungsi sebagai rumah produksi fesyen di samping membantu pereka mendapatkan dana bagi memulakan perniagaan fesyen mereka.

Bagaimanapun Sue Yii berdepan masalah apabila mendapati ramai pengeluar beroperasi berdasarkan kuantiti pesanan minimum tetapi pereka di Royal Demure tidak memerlukan pesanan yang besar.

“Selepas berdepan masalah operasi ini, saya memutuskan untuk memanfaatkan tukang jahit di kawasan kejiranan, kakak-kakak dan makcik-makcik yang boleh menghasilkan lebih banyak produk bermusim seperti baju raya.  

“Dengan peluang ini mereka mulai menjahit pakaian yang lebih bergaya bukannya pakaian bermusim biasa,” kata wanita berusia 28 tahun ini. 

Dia berkata tukang jahit ini mahu menyelesaikan lebih banyak pesanan dari Royal Demure tetapi tidak ada permintaan yang mencukupi.

“Ketika saya mula menerima panggilan daripada tukang jahit yang bertanya adakah mereka akan mendapat pesanan lagi, saya menyedari ada jurang yang perlu diisi.

“Jadi saya mula berfikir ‘bagaiamana kita memberi mereka lebih banyak pekerjaan?’ Kerana pada masa itu Royal Demure sedang bersaing dengan perusahaan fesyen besar lain seperti Zalora dan banyak lagi.  

“Ketika itulah kami memutuskan untuk membuat produk yang dapat dihasilkan secara besar-besaran untuk membantu kehidupan wanita-wanita ini,” katanya.

Rakan niaga Yap Sue Yii, Hasnaa Mansur menunjukkan topeng muka dengan reka bentuk batik di kedai mereka di Ampang, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 Julai, 2020.

Sue Yii berkata KTJ merupakan platform pertama membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada tukang jahit dari rumah yang akhirnya berubah menjadi perusahaan sosial apabila dia mula menyedari sebilangan daripada mereka memerlukan pendapatan yang berterusan.

“Wanita ini bukan sahaja melakukannya untuk wang tetapi mereka juga ingin merasa lebih sekadar ibu yang menjaga anak-anak dan keluarga mereka. 

“Mereka menyukai perasaan di mana setiap hari pada waktu siang mereka dapat melakukan perkara yang mereka sukai dan menjadi diri mereka sendiri tanpa perlu berterusan ‘bergaduh’ dengan anak-anak,” katanya.  

Selain itu Sue Yii berkata wanita-wanita ini dapat memperoleh wang mereka sendiri tanpa bergantung kepada orang lain dalam keluarga mereka.  

Sue Yii berkata wanita ini dapat memperoleh sekitar RM300 hingga RM400 seminggu bergantung pada jumlah pesanan.

“Jadi ada rasa kepuasan yang tinggi dapat diperoleh oleh wanita-wanita ini kerana dapat melakukan perkara mereka sendiri dan pada masa sama memperoleh sedikit wang hasil usaha kerja keras mereka sendiri,” katanya.

Walaupun majoriti tukang jahit KTJ datang dari komuniti B40, Sue Yii berkata dia tidak suka mengkategorikan mereka sebagai wanita B40 kerana baginya mereka adalah wanita dan kategori mereka tidak boleh menentukannya.

“Kadang kala saya mendengar cerita daripada wanita-wanita ini yang tiba-tiba menyedari bahawa mereka sebenarnya mampu melakukan lebih banyak perkara dari sekadar menjadi ibu, ini bermakna ada lebih banyak perkara untuk hidup mereka,” katanya. – 7 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen