Ahli Parlimen Digital, belia pewaris negara


PROGRAM Parlimen Digital anjuran Undi 18, Challenger Malaysia, Liga Rakyat Demokratik dan UNAM Youth telah berjalan dengan jayanya pada hujung minggu ini. Syabas saya ucapkan kepada penganjur yang bertungkus lumus menjayakannya.

Secara peribadi saya berpendapat program ini satu kejayaan besar para belia Malaysia untuk membuka mata ramai pihak terutamanya ahli-ahli Parlimen yang enggan mengadakan sidang Parlimen atas alasan pandemik Covid-19. 

Para belia yang terlibat dengan program Parlimen Digital ini telah membuktikan tiada yang mustahil pada abad ini. Kecanggihan teknologi boleh membantu menyelesaikan masalah, jika ada usaha dan kemahuan yang tinggi.

Sebagai pemerhati, saya amat kagum dengan kesemua ahli Parlimen Digital yang dipilih kerana kesungguhan mereka melakukan kajian untuk membantu membahas usul. Saya juga kagum dengan keupayaan mereka berbahas dan melontarkan pandangan serta cadangan mereka yang mencakupi pelbagai aspek yang kadang kala dipandang remeh dan tidak dipandang serius oleh sesetengah pihak. 

Keupayaan mereka berbahas dengan fakta yang disokong data dari hasil kajian yang telah dijalankan oleh kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan sangat mengagumkan.

Saya mengikuti perkembangan mereka dari awal. Saya amat kagum dengan latihan dan perbincangan yang diadakan oleh mereka atas inisiatif mereka sendiri demi menjayakan program ini. 

Sepanjang dua hari program ini berlangsung, saya sangat kagum melihat kebolehan anak-anak muda ini membahaskan usul mereka, antaranya Yang Berkhidmat Bintulu, Marscella Ling yang berusia 15 tahun. Beliau juga merupakan peserta termuda program ini. Beliau lantang dan lancar membahaskan usul pendidikan.

Beliau berjaya memberikan perspektif dari sudut seorang pelajar yang tidak boleh ke sekolah kerana pandemik Covid-19. Beliau juga berjaya memberikan cadangan penambahbaikan terhadap sistem sedia ada agar menjadi lebih baik dan boleh digunakan untuk semua. 

Ini adalah hasil dari kajian beliau sendiri, yang tidak mempunyai pasukan pegawai penyelidik seperti yang ada pada ahli Parlimen.

Saya amat berbangga dengan kesemua 222 ahli Yang Berkhidmat Parlimen Digital yang telah dipilih. Inilah yang semangat yang kita mahukan demi membangunkan dan menjadikan negara ini lebih makmur dan sentosa. 

Mereka adalah suara masa depan negara kita. Saya percaya bahawasanya negara kita ini mempunyai masa depan yang gemilang jika kita mempunyai anak-anak muda yang proaktif dan cemerlang seperti ini.

Namun saya sangat kesal dengan laporan yang mengatakan bahawa ada beberapa orang peserta Parlimen Digital telah dipanggil oleh pihak Polis Diraja Malaysia untuk memberikan keterangan. Ini adalah tindakan tidak wajar. 

Saya senada dengan pendapat Adun Lim Yi Wei, Ahli Dewan Undangan Kampung Tunku yang mengatakan bahawa pelaksanaan Parlimen Digital ini perlu diraikan bukan dikekang oleh pihak berkuasa. 

Saya melihat tiada sebab untuk menyekat anak-anak muda ini untuk bersuara dan menyampaikan hasrat dan pendapat mereka. 

Parlimen Digital ini juga adalah salah satu proses pembelajaran bagi peserta serta orang luar yang mengikuti program ini sebagai pemerhati atau penonton di siaran ‘live streaming’ mengenai bagaimana kerajaan membuat keputusan mengenai sesuatu perkara dan juga hala tuju negara.

Justeru saya merayu agar siasatan terhadap program ini atau pun peserta dan penganjurnya dihentikan dengan segera. 

Saya juga memohon kerjasama semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta wakil rakyat serta menteri dan timbalan menteri yang telah bertemu dengan anak-anak muda ini sebelum program berjalan agar turut bersuara dan membantah siasatan yang diadakan. 

Seharusnya anak-anak muda ini digamit, dididik dan diasuh agar menjadi lebih baik dan cemerlang lagi, bukan ditakuti dengan siasatan sebegini. 

Mereka adalah pewaris kepada negara ini. Pendapat dan pandangan mereka juga penting demi pembangunan negara yang seimbang. – 6 Julai, 2020.

* Noor Suhana Ishak ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen