Jangan sekat anak muda usahakan inisiatif Parlimen Digital


PARLIMEN Digital merupakan usaha sekumpulan anak muda untuk menghimpunkan seramai 222 belia mewakili kawasan parlimen masing-masing dari seluruh negara.

Mereka telah bersidang secara atas talian dari hari sabtu hingga ahad. Perbahasan ahli-ahli Parlimen Digital telah menyentuh beberapa topik berkenaan kepentingan belia. 

Usaha ini telah mendapat pujian kerana dilihat berjaya mengadakan sidang parlimen atas talian ketika wabak Covid-19 masih tidak terhapus sepenuhnya.

Anak muda wajib diberikan ruang untuk membincang secara umum perkara-perkara yang berkisar kepentingan mereka. Masa depan belia adalah masa depan negara. Kematangan dan kepetahan yang terserlah semasa perbahasan Parlimen Digital cukup mengagumkan dan semua harus berasa bangga dengan kebolehan anak muda kita.

Penglibatan pihak polis dilihat meneruskan gaya pemerintahan yang lama di mana anak muda Malaysia yang ingin menyuarakan pandangan selalu disekat melalui pelbagai jenis cara. 

Saya menyeru Polis DiRaja Malaysia supaya berpegang kepada profesionalisme dalam melaksanakan tugas. Ahli-ahli Parlimen Digital hanya ingin menyertai perbahasan tentang perkara-perkara berhubung masa depan mereka.

Selagi penawar Covid-19 masih tidak diciptakan, selagi itulah cara-cara baru dan kreatif perlu difikirkan dan dimanfaatkan sepenuhnya. Parlimen Digital telah mencetuskan harapan dalam orang Malaysia, khususnya belia. 

Mereka berpeluang menyaksikan kawan-kawan mereka sendiri berbahas tentang hal ehwal belia dengan petah, matang dan sopan. Langsung tidak kelihatan sandiwara jerit-menjerit dalam Parlimen yang sudah menjadi satu kebiasaan kepada rakyat Malaysia.

Sebagai penyediaan untuk pindaan perlembagaan yang bakal berkuatkuasa tahun depan di mana umur pengundi diturunkan kepada 18 tahun, Parlimen Digital juga membantu meningkatkan kecelikan belia terhadap isu-isu yang amat penting bagi masa depan mereka. Nasib belia tidak wajar dibiarkan begitu sahaja. 

Mereka patut diberikan ruang untuk meningkatkan kematangan dan kebolehan mereka di arena berpengaruh seperti Parlimen.

Apabila masa depan belia terjamin dan cerah, masa depan negara akan turut terjamin dan cerah. Nasib kedua-duanya berpisah tiada. Maka jangan disekat apabila anak muda kita sudah mampu mengusahakan inisiatif sendiri seperti Parlimen Digital.

Perlembagaan telah menjamin kebebasan bersuara bagi setiap warganegara malaysia. Saya berharap kebebasan selepas bersuara juga dipertahankan supaya kebebasan ini dapat dinikmati  anak-anak kita dengan sepenuhnya. – 5 Julai, 2020.
 
*Syerleena Abdul Rashid adalah Adun Seri Delima dan AJK Wanita DAP Kebangsaan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Bagi dorongan bukan kekangan. Asyik kutip je, bila anak Malaysia nak maju. Yg sedia ada esok dah tua, dah mati. Jika anak muda tak de ilmu. Apa akan jadi

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Muhammad Ibrahim Selamat · Ulasan