Parlimen Digital inisiatif belia dapat pujian Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau kagum dengan inisiati belia yang membangunkan Parlimen Digial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2020.

PARLIMEN Digital hasil inisiatif golongan belia yang kini disiasat polis mendapat pujian daripada Dr Mahathir Mohamad yang dianggap beliau sebagai eksperimen progresif menunjukkan sidang Parlimen penuh masih boleh diadakan secara dalam talian walaupun berdepan virus pandemik.

“Saya mengikuti perbahasan Parlimen Digital di Facebook dan kagum melihat inisiatif oleh sekumpulan anak muda. Mereka telah mengambil bahagian berbincang dan berbahas usul-usul yang dibawa secara objektif.

“Ini membuktikan bahawa dalam apa juga suasana termasuk ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19, sidang Parlimen boleh diadakan melalui platform digital dengan kaedah tele-conference tanpa perlu hadir di dewan rakyat,” tulisnya di Twitter hari ini. 

Semalam beberapa orang wakil daripada inisiatif Parlimen Digital yang digerakkan kumpulan belia telah dihubungi polis selepas mereka menamatkan sidang maya. 

Penganjur, tiga organisasi politik belia yang diketuai oleh Challenger Malaysia, Undi18 dan Liga Demokratik Malaysia dijangka mengeluarkan kenyataan lewat petang ini.

Dr Mahathir hari ini memuji inisiatif itu kerana memberi peluang kepada belia berpidato dan berinteraksi secara sihat.

“Ia juga mengenal pasti pemimpin muda yang mempunyai bakat menjadi pemimpin,” katanya.

Sidang kedua bersambung hari ini dan disiarkan secara langsung di Facebook, sebelum berakhir pada jam 1 tengah hari.

Tujuan inisiatif itu antara lain untuk menunjukkan bagaimana sesi Parlimen maya diadakan seperti yang dilakukan oleh beberapa negara lain sepanjang krisis wabak ini.

Dr Mahathir, beberapa ahli Parlimen pembangkang dan masyarakat mengkritik persidangan Parlimen Perikatan Nasional selama dua jam pada 18 Mei yang diadakan hanya untuk mendengar Titah Diraja disebabkan kebimbangan penyebaran Covid-19.

Di Facebook malam tadi, Presiden PKR dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim juga mengkritik tindakan polis terhadap belia yang mengambil bahagian dalam inisiatif itu.

“Perkembangan ni ternyata merunsingkan tatkala anak-anak muda @ParlimenDigital diganggu pihak berkuasa di mana sepatutnya mereka diberi dorongan dalam meraikan demokrasi,” katanya. – 5 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen