Dr Mahathir, Wan Azizah dicadang sebagai pemimpin jika PH menang PRU14


The Malaysian Insight

Hanya PKR belum bersetuju dengan cadangan menamakan Presiden Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pemimpin sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya akan datang. – Gambar The Malaysian Insight, 3 Disember, 2017.

KECUALI PKR, parti dalam pakatan pembangkang Pakatan Harapan bersetuju untuk menamakan Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri interim dan timbalan perdana menteri sekiranya pembangkang menang pilihan raya akan datang.

Sumber memberitahu, cadangan itu dikemukakan dalam retreat PH pada 1 dan 2 Disember yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

“Parti Bersatu, Amanah dan DAP sudah bersetuju, cuma PKR masih belum capai kata sepakat,” kata sumber yang turut hadir pada retreat itu kepada The Malaysian Insight, namun enggan dinamakan.

“Disebabkan PKR masih mahu tangguh membincangkan dalam biro politik mereka mengenai perkara ini, kita tangguhkan untuk buat keputusan”.

Sumber berkata, retreat berkenaan turut memutuskan semua parti akan membincangkan perkara ini secara dalaman terlebih dahulu selepas tamat program berkenaan.

Satu lagi sumber dari Amanah berkata, partinya sudah membuat keputusan mengenai sebulan lalu.

“Namun parti lain masih belum buat keputusan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, retreat PH yang dihadiri kepimpinan tertinggi dari PKR, Bersatu, Amanah dan DAP juga membuat keputusan untuk menetapkan agar pembahagian kerusi di kalangan parti diselesaikan menjelang akhir Disember ini.

“Kita sudah tak banyak masa, kita mesti bergerak cepat menuju PRU14,” katanya.

Tambahnya, sekiranya Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak membuat keputusan mengenai pendaftaran PH, gabungan itu akan mencari alternatif lain.

“Sekiranya RoS masih berdolak dalik, PH akan guna logo salah satu parti yang paling boleh diterima dan dikenali dalam kalangan empat parti ini.

“Besar kemungkinan logo PKR,” katanya.  – 3 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen