Ibadah dan keseronokan melalui pelayaran Islamik


Paparan skrin daripada video promosi oleh Pelayaran Islamik menunjukkan kuliah agama yang diberikan di atas kapal persiaran. – 3 Disember, 2017.

MAKANAN yang lazat, persembahan muzik di atas kapal, permainan arked dan hembusan angin laut adalah beberapa pengalaman yang boleh dialami dalam percutian di atas kapal persiaran.

Berbeza pula dengan sebuah pelayaran Islamik dari Singapura ke Banda Aceh, yang digelar serambi Mekah kerana peranannya yang bersejarah dalam penyebaran Islam di Asia Tenggara, seperti yang dilaporkan The Straits Times.

Siasatan akhbar itu terhadap pelayaran yang dianjurkan kapal persiaran Islamik milik Costa Rica yang berpangkalan di Malaysia, menyusul selepas tiga pendakwah - Ismail Menk dari Zimbabwe, Haslin Baharim (Malaysia) dan Yusuf Estes (Amerika Syarikat)- dihalang memasuki Singapura untuk memberi kuliah agama di atas kapal persiaran itu.

Selain makanan yang halal, hiburan yang sederhana dan tiada perjudian, kuliah-kuliah sedemikian memberi unsur keIslaman kepada sesebuah pelayaran.

Fazal Bahardeen, Ketua Eksekutif Crescentrating, iaitu sebuah firma yang memberi rating “halal” atau patuh Islam atau kepada hotel-hotel dan pertubuhan berkaitan pelancongan berkata, larangan ke atas pendakwah-pendakwah itu lebih kepada menyekat mereka di atas kapal persiaran dan bukan ke atas kapal persiaran itu sendiri.

Menurut The Straits Times, ia mendapati rakyat Malaysia merupakan majoriti dari 1,000 penumpang yang mengikuti pelayaran bermula 25 November itu.

Ia berkata, mereka yang berada di atas kapal itu terdiri daripada wanita-wanita muda yang memakai beg tangan Loui Vuitton dan lelaki-lelaki berpangkat Datuk serta orang-orang tua berkerusi roda.

Pengasas Pelayaran Islamik, Suhaimi Abd Ghafer memberitahu The Straits Times pelayaran itu “hanya satu percutian”.

“Penumpang berkumpul bersama, berseronok dan menikmati hiburan, sama-sama beribadah serta mengalami keindahan alam dan kemudahan pelayaran yang selesa.”

Terdapat juga kuliah-kuliah agama, sesi bacaan Al-Quran dan persembahan dari kumpulan nasyid terkenal, Raihan. Aktiviti-aktiviti ini dilakukan serentak, supaya penumpang boleh memilih aktiviti yang ingin disertai, atau pulang ke kabin masing-masing atau berehat di geladak kapal.

Mereka juga boleh mendengar alunan muzi Timur Tengah, menonton persembahan nasyid dan bermain permainan arked.

Tiada paksaan bagi penumpang untuk menyertai mana-mana aktiviti, kata Suhaimi.

“Anda tak nampak kami mengetuk setiap pintu, bukan? Ini percutian anda, anda boleh buat apa saja yang anda suka.”

Beberapa penumpang mendapati menunaikan solat di geladak memberi satu pengalaman spititual kepada mereka.

“Menakjubkan. Walaupun ramai orang, saya tak nampak orang lain. Cuma langit dan saya, Pencipta saya dan diri saya,” kata Jamelah Sulaiman, pemilik tadika yang berasal dari Singapura.

Menunaikan solat di bawah bintang-bintang, bulan, ia sangat cantik.”

Seorang penumpang berkata dia awalnya menyangka akan menyertai kem latihan agama, sebaliknya ia merupakan percutian yang amat menyenangkan.

“Saya ingatkan saya perlu makna kurma dan minum air zam-zam, tapi tidak,” katanya.

Namun, tidak semuanya melalui pengalaman yang sama. Ada yang mengadu syarikat itu tidak dapat menguruskan bilangan penumpang yang ramai dengan baik, selain cuaca yang buruk dan pihak pengurusan menangguhkan banyak aktiviti di Banda Aceh, seperti membeli belah.

“Mereka asyik berdalih. Kami tidak dapat lawat semua tempat yang ada dalam jadual perjalanan dan lama tersekat di imigresen Singapura,” kata seorang surirumah.  – 3 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen