Pembekuan pekerja asing jejas agensi pembantu rumah


Aminah Farid

PERMINTAAN tinggi diterima bagi pembantu rumah tetapi agensi pekerjaan berdepan masalah untuk membuat pengambilan susulan pengumuman Putrajaya mengenai pembekuan pekerja asing baharu hingga akhir tahun ini.

Agensi tidak akan dapat menggantikan pembantu rumah yang permitnya hampir luput susulan pengumuman Menteri Sumber Manusia M. Saravanan awal minggu ini, yang berkata langkah itu adalah untuk meningkatkan peluang pekerjaan di kalangan rakyat Malaysia.

Agensi yang ditemuramah oleh The Malaysian Insight berkata mereka kini tidak pasti apa perlu dilakukan dengan pekerja yang sudah diambil dan sedang menunggu di negara asal untuk dibawa ke Malaysia.

Seorang pengarah agensi, yang meminta untuk tidak disebutkan nama berkata pihaknya mempunyai 50 pelanggan yang memerlukan pengganti bagi pembantu rumah mereka.

“Permit pekerja mereka sudah hampir tamat dan ingin kembali ke negara asal. Oleh itu, kita mesti mula membawa pembantu baharu sebagai pengganti.

“Kami memahami penekanan menteri untuk memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, tetapi hakikatnya mereka tidak berminat bekerja sebagai pembantu rumah,” katanya.

“Kami mempunyai pekerja rakyat Malaysia sebelum ini tetapi mereka tidak bertahan lama. Mereka hanya bertahan beberapa bulan.”

Pengarah agensi ini sudah mengiklankan untuk mengambil pekerja penduduk tempatan tetapi hanya menerima beberapa permohonan.

Beliau berkata keperluan bagi pembantu rumah dan pengasuh sangat mendesak bagi beberapa pelanggan ketika ibu bapa bakal kembali bekerja selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19.

Ibu bapa tidak mahu menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak kerana bimbang penularan virus.

“Ibu bapa lebih senang hati mempunyai pembantu di rumah untuk menjaga anak-anak mereka.”

Pengarah agensi itu menggambarkan keputusan Kementerian Sumber Manusia menimbulkan reaksi berantai yang mempengaruhi banyak pihak.

Sebilangan ibu bapa terpaksa kembali bekerja atau mereka mungkin kehilangan pekerjaan, sementara agensi sepertinya bergelut untuk mengekalkan pekerja dan memenuhi permintaan pelanggan.

Seorang lagi pengarah agensi pembantu rumah berkata beliau mempunyai 50 pekerja yang visanya sudah diluluskan sedang menunggu di Filipina untuk dibawa ke Malaysia.

Beliau yang juga meminta namanya tidak disebut berkata pengumuman Saravanan bermaksud tiada pekerja yang boleh dibawa masuk.

“Ini sangat sukar bagi saya kerana saya hanya mengambil pengasuh Islam dan sekarang, deposit dibayar, komitmen sudah dibuat, tetapi saya tidak dapat menghantarnya,” kata beliau.

Ramai pelanggannya memerlukan penjaga baru atau pekerja ganti untuk menjaga anak-anak dan ibu bapa mereka yang sudah tua, tambahnya.

“Semasa PKP, banyak orang di rumah menjaga anak-anak dan orang tua mereka, sekarang dengan ekonomi sudah dibuka dan tiada penjaga untuk diambil dan siapa yang akan menjaga mereka?”

Beliau berkata beberapa pelanggan juga adalah warga tua yang tinggal sendirian.

“Ada seorang lelaki berusia 95 tahun yang tinggal di rumah besar seorang diri tanpa pembantu. Bagaimana beliau boleh hidup tanpa pembantu?”

Empat persatuan terkemuka dalam sektor pekerja domestik mengeluarkan kenyataan bersama kepada kerajaan yang menjelaskan kesukaran mengupah rakyat Malaysia untuk pekerjaan seperti itu.

Mereka berkata walaupunmenyokong pengambilan pekerja tempatan, hakikatnya kebanyakan rakyat Malaysia tidak berminat bekerja sebagai pembantu rumah, walaupun terdapat permintaan yang tinggi.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Persatuan Agensi Pekerjaan, Malaysia (P.A.P.A), Persatuan Nasional Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap), Organisasi Nasional Sumber Manusia (Pusma), dan Persatuan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma).

“Di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan banyak orang kembali ke pejabat untuk bekerja tetapi sekolah masih belum dibuka sepenuhnya.

“Mereka yang akan bekerja harus meninggalkan anak-anak, yang bersekolah rendah di rumah tanpa pengawasan,” kata kenyataan itu.

Agensi ini berharap kerajaan membenarkan pembantu rumah, sekurang-kurangnya dari Filipina dibenarkan masuk ke negara ini untuk mengurangkan ketiadaan sambutan penduduk tempatan untuk bekerja dalam sektor ini. – 28 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen