Pelajar jalani kuarantin di rumah isi masa dengan Netflix dan ulangkaji


Aminah Farid

Kerajaan membenarkan rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara menjalani kuarantin di rumah berdasarkan peratusan kes positif yang rendah di kalangan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2020.

SETIAP hari aktiviti dipenuhi dengan menonton Netflix, ulangkaji atau membaca, sambil menerima makanan yang dihantar ke bilik. 

Jauh berbeza dengan percutian mewah, ini adalah rutin kuarantin di rumah bagi pelajar yang pulang dari luar negara sejak awal Jun.

Meskipun terbatas dalam bilik sahaja, kuarantin di rumah jauh lebih menyenangkan dan mudah untuk menyesuaikan diri dengan suasana yang kita sudah biasa, berbanding jika tinggal di hotel atau kemudahan kerajaan.

Namun, suasana selesa itu memerlukan mereka perlu sentiasa beringat agar tidak melanggar garis panduan kesihatan kuarantin diri yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, seperti menjaga komunikasi dengan anggota keluarga seminimum yang boleh.

Pelajar yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Aishah Abdullah berkata beliau sedaya upaya tidak meninggalkan biliknya demi kebaikan ibu bapanya.

“Oleh kerana saya tinggal bersama ibu bapa yang sudah tua dan dianggap berisiko tinggi, saya berusaha untuk tidak keluar dari bilik saya sama sekali,” kata pelajar jurusan undang-undang berusia 22 tahun yang tinggal di Kelantan itu.

“Saya tinggal di sebuah rumah dua tingkat. Jadi, kebanyakan masa saya berada di bilik saya di tingkat atas. Saya juga bernasib baik kerana mempunyai bilik mandi sendiri.”

Ibu Aishah meletakkan makanannya di luar bilik tidur di bahagian atas tangga.

“Sekiranya saya ingin bercakap dengan ahli keluarga, saya akan berdiri di tangga dengan topeng dan pelindung muka sementara ibu bapa saya berada di ruang bawah, kira-kira 5 hingga 10 meter dari saya.

“Saya menyibukkan diri dengan mengemas beg saya, menyusun semula almari, membaca beberapa buku, dan menonton Netflix,” kata Aishah yang sudah menjalani kuarantin selama 10 hari sejak pulang dari UK.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah awal bulan ini berkata keputusan membenarkan rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara menjalani kuarantin 14 hari di rumah dibuat berdasarkan peratusan kes positif yang rendah di kalangan mereka yang kembali.

Daripada 50,000 rakyat yang pulang, hanya 554 atau 1% diuji positif, kata Dr Noor Hisham.

Ujian kedua selepas kuarantin dua minggu pula menunjukkan hanya 134 kes atau 0.2% daripada keseluruhan kes diuji positif.

Katanya, mereka yang menjalani kuarantin di rumah perlu memakai gelang tangan khas dan menggunakan aplikasi telefon pintar MySejahtera untuk memudahkan pengesanan pergerakan mereka.

Gelang tangan itu yang tidak boleh dibuka selama dua minggu membolehkan pihak berkuasa mengesan mereka yang diletakkan di bawah arahan kuarantin rumah. – 24 Jun, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen