Anwar sedia pertimbang jawatan penasihat untuk Dr Mahathir


Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak akan terima Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri tetapi tidak menolak untuk menawarkan jawatan penasihat kepadanya dalam Kabinet PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2020.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim tidak akan terima Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri tetapi tidak menolak untuk menawarkan jawatan penasihat kepadanya dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH), katanya kepada media di Singapura.

Ketua pembangkang itu membayangkan peranan hampir serupa kepada menteri mentor yang disandang oleh bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

“Mereka bercakap tentang menteri kanan atau menteri mentor seperti Lee Kuan Yew. Saya terbuka untuk perbincangan,” kata Anwar dalam satu temu bual video bersama Channel News Asia.

Anwar berkata beliau tidak akan menerima cadangan PH untuk beliau menerima jawatan perdana menteri selepas enam bulan Dr Mahathir menjawat jawatan itu.

Berkenaan sama ada beliau akan melantik Dr Mahathir sebagai timbalannya, Anwar berkata sebelum ini ada dua pentadbiran Dr Mahathir.

“Setahu saya, beliau berkhidmat dua kali sebagai perdana menteri. Sudah tiba masanya untuk kita beralih pula,” katanya dalam temu bual yang dimuat naik di Twitter oleh ketua biro CNA Malaysia Melissa Goh.

“Saya tekanankan bahawa ini bukan persoalan tentang personaliti. Ini persoalan tentang peluang untuk mulakan yang baharu – permulaan segar untuk negara ini.

“Rakyat Malaysia berhak dapat yang lebih baik. Terlalu banyak kekecewaan tentang politik sekarang ini,” katanya.

PH dan sekutunya menemui jalan buntu tentang calon perdana menteri mereka, dengan PKR enggan menerima orang lain kecuali Anwar. DAP dan Amanah mahukan Dr Mahathir kembali untuk kali ketiga sebagai perdana menteri, dengan tarikh peralihan kuasa dirasmikan menerusi perjanjian bertulis.

Pada 23 Februari, Muhyiddin Yassin dan ahli Parlimen Bersatu yang lain berkumpul di Hotel Sheraton di mana mereka bertemu ahli Parlimen daripada Barisan Nasional, PAS dan PKR yang keluar parti.

Dr Mahathir kemudian meletak jawatan sebagai perdana menteri, yang menyebabkan keruntuhan kerajaan PH. – 23 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen