Hidup lebih sukar untuk ibu tunggal kerana PKP, Covid-19


Aminah Farid

Golongan ibu tunggal paling terkesan ketika penguatkuasaan PKP kerana terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara keluarga.– Gambar fail The Malaysian Insight 23 Jun, 2020.

GOLONGAN ibu tunggal berdepan kesukaran untuk meneruskan kelangsungan hidup dan menjaga anak masing-masing susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac.

Kebanyakan daripada mereka yang bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan kecil berkata pendapatan mereka terjejas teruk akibat PKP yang dilaksanakan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Mereka berkata selain bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan dan pemberian sumbangan daripada kumpulan sukarelawan, keadaan semasa juga memberi tekanan mental kepada mereka.

Hafisah, 44, seorang tukang jahit di Keramat, berkata beliau tiada pendapatan sejak PKP bermula, dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan tunai kerajaan dan NGO.

“Sejak PKP bermula, pendapatan saya teruk terjejas. Saya tidak dapat tempahan menjahit seperti biasa ketika musim Hari Raya, jadi sangat terasa bebannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hafisah berkata lazimnya pada musim perayaan pendapatannya boleh mencecah RM5,000 tetapi sekarang, semua pekerjaan sampingan yang dilakukannya atau bantuan tunai yang diterima di bawah RM1,000 sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, beliau yang tidak mahir dengan digital terpaksa bergelut untuk beroperasi secara online bagi menjana pendapatan.

“Saya hidup dengan RM20 sehari untuk memberi makan anak-anak. Saya perlu beli ikan atau ayam dan sedikit sayuran supaya anak dapat makan. Namun, saya bersyukur NGO amat baik memberikan bekalan bahan makanan yang mencukupi seperti minyak masak dan beras.

“Tanpa bantuan NGO ketika tempoh ni, saya rasa saya akan putus asa,” katanya.

Hafisah mempunyai lima anak, tiga sudah bekerja tetapi diberhentikan ketika PKP, menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada bantuan kerajaan dan NGO.

“Di bawah perintah baharu ini, saya masih belum dapat kerja upah menjahit kerana orang ramai berjimat-cermat sekarang.”

Walaupun beliau dalam kategori asnaf dan layan menerima zakat, Hafisah berkata beliau belum menerimanya tetapi sudah membuat permohonan.

Kesihatan mental makin buruk akibat tekanan kewangan

Hafisah bukan satu-satunya ibu tunggal yang terpaksa berdepan kesukaran hidup ketika pandemik ini.

Seorang ibu tunggal dua anak yang hanya mahu dikenali sebagai Aisyah berkata sebelum PKP, beliau menjalankan sebuah tadika di Selayang, dibuka untuk membantu anak kurang kemampuan, yang bergantung sepenuhnya atas sumbangan untuk beroperasi.

Namun, tadika itu terpaksa dihentikan ketika PKP kerana Aisyah, 34, tidak dapat membayar sewa susulan tidak cukup dana dan sumbangan.

Pada masa sama, beliau juga bekerja sepenuh masa sebagai pembeli barang secara sepenuh masa, berulang-alik Malaysia dari beberapa negara seperti China, Indonesia dan Vietnam.

“Saya akan ke negara-negara itu setiap bulan untuk membelikan tempahan dan permintaan pelanggan seperti kain, makanan dan aksesori. Namun, bila penerbangan antarabangsa dilarang, sumber pendapatan utama saya terjejas.

“Dan kemudian, saya terpaksa menutup tadika saya kerana kurang dana.

“Saya rasa murung sangat. Malah saya mula dengar suara di fikiran saya,” katanya yang tidak diberikan nafkah anak oleh bekas suaminya.

Aisyah pada masa ini menjadi “personal shopper” untuk barangan rumah dan makanan.

“Saya mula jual ikan, jagung, lai chee kang, keropok lekor, malah bantal dan macam-macam lagi,” katanya, menambah asalkan rezekinya halal, beliau akan buat apa saja.

Aisyah juga akan pergi dari rumah ke rumah untuk menghantar barangan dan biasanya akan membawa anak-anak bersama.

“Saya harap kerajaan boleh bantu kami ibu tunggal tanpa perlu kami berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mereka yang berdaftar dengan JKM kebanyakannya tidak bekerja atau tidak boleh bekerja, sementara ramai ibu tunggal yang bekerja dan bergelut tetapi tidak pernah mendaftarkan diri dengan JKM,” katanya.

Utamakan keperluan ibu tunggal

Penjual kuih yang juga ibu tunggal, Norbiyah Anwar, 40, berkata ketika PKP, beliau tidak dapat berniaga kerana kedai kebanyakannya tutup dan pergerakannya terhad.

“Saya rasa sedih kerana pendapatan utama saya terjejas.

“Saya biasanya buat kuih dan menghantarnya ke kedai, tetapi sepanjang PKP, saya tidak boleh berbuat demikian,” kata ibu dua anak itu.

Katanya, pada masa sekarang juga iaitu perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), perniagaannya masih perlahan.

Norbiyah berkata kerajaan sepatutnya mempertimbangkan memberi ibu tunggal elaun bulanan, menambah kerajaan perlu mengutamakan memberi keperluan asas kepada golongan itu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP akan dilanjutkan hingga 31 Ogos.

Malaysia pada masa ini dalam fasa PKPP, di mana kebanyakan perniagaan dibenarkan beroperasi. – 23 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen