Tiada pertemuan sulit Dr Mahathir dengan Azmin, Hisham, kata pembantu


Gambar yang tular di media sosial menunjukkan Dr Mahathir Mohamad, Menteri Luar Hishammuddin Hussein dan Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali berada di Langkawi pada hujung minggu lalu. Namun, tidak ada satu pun gambar yang memaparkan ketiga-tiga mereka bersama. – Gambar Facebook, 22 Jun, 2020.

TIADA pertemuan sulit antara Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Langkawi hujung minggu lalu, kata pembantu bekas perdana menteri itu.

Pembantu Dr Mahathir, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin juga menafikan ahli Parlimen Langkawi itu bercuti dengan Mohamed Azmin Ali di pulau berkenaan.

“Memang disahkan oleh pegawai pengiring tak ada pertemuan sama ada rasmi atau tak. 

“Tun M pergi Langkawi pun secara last minute. Spekulasi bahawa Tun M ada plan bercuti dengan Azmin adalah tak benar sama sekali,” tulis Adam Mukhriz di Facebook.

Beliau mengulas spekulasi Dr Mahathir mengadakan pertemuan sulit bersama Azmin dan Menteri Luar Hishammuddin Hussein di Langkawi pada hujung minggu lalu.

Azmin dan Hishammuddin bersekongkol dengan Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan PN selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari.

Di media sosial, tersebar gambar Dr Mahathir, Azmin dan Hishammuddin berada di Langkawi hujung minggu lalu. Namun, tidak ada satu pun gambar yang memaparkan mereka bersama.

PH kini dalam kebuntuan dalam menentukan calon perdana menteri sekiranya gabungan itu berjaya mengambil alih semula kerajaan.

PKR bertegas mahu presidennya Anwar Ibrahim dicalonkan sebagai perdana menteri dan menolak Dr Mahathir.

DAP dan Amanah hari ini memberi jaminan pelan untuk Anwar mengambil alih kuasa dalam tempoh enam bulan selepas PH mengambil alih kuasa akan disepakati dalam bentuk perjanjian. – 22 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen