DAP, Amanah jamin semua parti tandatangan pelan 6 bulan untuk Anwar jadi PM


Kesepakatan ke atas pelan peralihan kuasa enam bulan untuk Anwar menjadi perdana menteri perlu dibuat kerana ia satu-satunya jalan untuk PH berkuasa semula, kata DAP dan Amanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2020.

DAP dan Amanah memberi jaminan pelan untuk Anwar Ibrahim mengambil alih kuasa dalam tempoh enam bulan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa akan disepakati dalam bentuk perjanjian.

Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kesepakatan ke atas pelan itu perlu dibuat kerana ia satu-satunya jalan untuk berkuasa semula.

“Peralihan 6 bulan ini akan didokumenkan secara bertulis, ditandatangani kesemua pemimpin parti dan diumumkan secara terbuka,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu timbul bagi menghentikan persengketaan yang berlarutan pada masa ini ekoran kegagalan PH menamakan calon perdana menteri bagi mengambil alih kerajaan semula.

Dengan itu Lim dan Mohamad berharap PKR, Warisan dan kelompok penyokong Dr Mahathir dalam Bersatu akan menyokong pelan tersebut.

“Dengan latar senario politik semasa, satu-satunya pilihan yang realistik untuk berjaya adalah dengan menggabungkan kekuatan kesemua lima parti iaitu PKR, Amanah dan DAP daripada Pakatan Harapan serta Warisan dan kelompok penyokong Dr Mahathir dalam Bersatu.

“Perjalanan politik ini telah mengambil masa 22 tahun, justeru kita mampu menunggu enam bulan lagi untuk melihat Anwar diangkat sebagai perdana menteri kesepuluh Malaysia.

Janji bertulis untuk Dr Mahathir dilantik menjadi perdana menteri semula dan seterusnya menyerahkan kuasa dalam masa enam bulan itu jauh berbeza daripada tempoh dua tahun sebelum ini.

Tempoh dua tahun itu dipertikai banyak pihak dalam PH yang curiga dengan komitmen Dr Mahathir untuk menyerahkan kuasa tersebut.

Kenyataan itu muncul selepas Anwar membangkitkan bahawa Dr Mahathir sehingga ini masih belum berjaya mendapatkan jumlah sokongan ahli parlimen untuk mengambil alih kerajaan.

“Jadi ada yang percaya Tun Mahathir dapat jumlah. Tapi sampai hari ini tak dapat. Jumlah belum ada,” katanya.

Ia susulan kenyataan DAP dan Amanah beberapa hari lalu yang mendedahkan Warisan dan GPS tidak menyokong beliau untuk menjadi perdana menteri.

Pemimpin DAP dan Amanah juga mendedahkan terdapat PKR sudahpun bersetuju dengan pelan kedua – agar Anwar mengambil alih jawatan Dr Mahathir selepas enam bulan. – 22 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen