To'ki dalam dunia kongsi gelap dan dadah


Zainal Rashid Ahmad

“SEKALI kamu menjadi kongsi gelap ertinya tiada jalan keluar.

“Bohonglah kalau ada orang kata, dulu kongsi gelap, sekarang sudah cuci tangan,” kata To’ki.

Itu antara pengakuan berani penyanyi kontroversi tetapi berbakat besar, Mohd Zaki Mansor.

Nama pentasnya To’ki. Penyanyi dan komposer terkenal dekad 90-an. Menghasilkan tujuh album dan lagu-lagunya kekal popular hingga hari ini.

Antaranya Biasan, Hampa, Bersawala, Seni Berzaman, Selumbar, Dendang Sahutan (duet bersama Andy Flop Poppy) dan Naluri Cinta (duet bersama Rohana Jalil).

Dunia To’ki tidak diwarnai sepenuhnya oleh budaya “hukum batu” Kuala Lumpur ketika pertama kali menjejaknya pada 1988.

Pseudo kongsi gelap dan krisis penyalahgunaan dadah mengekori jejaknya sejak dari kampung. Semuanya bermula pada awal dekad 80-an, ketika To’ki membesar di Pekan Changloon, Kedah.

Hidup dan menempuh usia remaja dalam daerah yang dikepung Akta Darurat pada dekad itu tidak mudah. Malah, meninggalkan parut hitam yang sukar dihapuskan.

“Zaman komunis pada waktu itu dan perintah berkurung bermula 8 malam.

“Sebagai remaja saya tidak tahan berada di rumah,” katanya.

Mengimbau kembali dunia remajanya serta langkah pertama terlibat dalam kongsi gelap, To’ki menganggap, pengaruh itu menular secara senyap dan bermula tanpa disedari.

“Mula-mula berkawan sebab bergaul dengan rakan-rakan pelbagai bangsa kerana selalu bersama mengisi waktu bosan.

“Namun, sedikit demi sedikit ia berkembang jadi kegiatan saling bekerjasama mencari makan dalam keadaan darurat.

“Lama kelamaan, kongsi gelap menjadi satu ikatan dan kami bertindak lebih jauh tanpa menyedari kesannya pada seluruh hidup saya,” kata To’ki.

Apabila berhijrah ke Kuala Lumpur dan mengejar cita-cita bergelar penyanyi dan komposer, ikatan dunia kongsi gelap terus membayanginya.

“Susah untuk mulakan kerjaya sebab saya mahu menyanyi dan melakukan semua kerja seni dengan cara saya sendiri,” katanya.

Apabila menemukan jalan buntu - “buah kongsi gelap” digunakan sebagai percaturan terakhir bagi menyesuaikan diri dalam industri muzik yang komplikated.

“Ada kongsi gelap dalam industri muzik dan setelah melihat buah saya yang agak keras kerana pernah bergaul rapat dengan pelbagai kongsi gelap di sempadan Malaysia dan Thailand, semuanya menjadi lebih mudah,” dedahnya.

To’ki mendedahkan semua pengalaman ini secara terbuka dalam Sembang Garasi Republik via Facebook Suara Anak Cokit.

Selain kisah kongsi gelap, dalam sesi “live” pada Jumaat 10 malam itu – To’ki turut mendedahkan – pembabitannya dengan dadah bermula ketika masih remaja.

“Pada dekad awal 80-an, batang dan daun ganja yang baru dituai masih dijemur di ampaian baju di kampung saya,” katanya.

Sebagai anak Changloon yang melalui kehidupan polos antara sempadan Malaysia dan Thailand, usia remaja To’ki terdedah pada dadah.

“Ibu saya meniaga warung dan orang menghisap morfin di meja makan secara terbuka pada waktu itu,” dedahnya.

Cari makan di sempadan dan pengaruh dadah kekal mengejarnya selama 30 tahun.

“Kesannya panjang. Ketika masih menyanyi dan popular, dadah dan kongsi gelap terus mengekori hidup saya,” katanya.

To’ki mengecapi banyak kejayaan dalam dunia seni. Malah, namanya tercatat antara komposer penting yang menghidupkan irama nusantara moden; muzik pop yang berteraskan irama Melayu.

To’ki meraih Anugerah Juara Lagu ke-7, kategori Irama Malaysia melalui lagu Seni Berzaman”.

Selain finalis Anugerah Juara Lagu ke-9, kategori Balada (Naluri Cinta), finalis Anugerah Juara Lagu ke-13, kategori Irama Malaysia (Firasat) dan finalis Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang-Bintang Popular 1997/98.

Lagu Seni Berzaman juga berjaya menjuarai Pesta Lagu Asia Hanoi 1993.

Bermula era kejatuhan

Pada awal dekad 2000-an, nama To’ki mula tercemar teruk. Silih berganti dirinya dikaitkan dengan pelbagai berita negatif.

Pada usia lewat 30-an, To’ki dituduh sebagai ketua kongsi gelap. Lebih mengejutkan industri muzik, apabila meluasnya berita dirinya terbabit dengan penagihan dadah.

Malah, pernah tular kisah To’ki ditemukan mengemis di Pasar Borong dan stesen minyak.

“Semua orang melalui waktu jatuh bangun. Tetapi saya sudah bersih daripada dadah dan melalui tempoh pemulihan yang berterusan,” katanya.

Sambil menunjukkan pil anti ketagihan yang digunakan sejak sekian lama, To’ki menafikan dirinya masih penagih dadah.

“Saya sudah bersih tetapi harus menerima hakikat - setiap perbuatan ada akibatnya.

“Sesiapa yang berani jadi kongsi gelap dan menagih dadah, dia harus menerima akibatnya,” kata To’ki.

Mengambil pengajaran selama lebih tiga dekad terbabit dengan kongsi gelap dan dadah, To’ki memberikan nasihat pada remaja.

“Kalau kongsi gelap dikatakan cara untuk menjadi hero, tidak perlulah jadi hero.

“Kalau menagih dadah dianggap hero, tak perlulah jadi hero,” katanya.

Dua kali cubaan dibunuh

Mengenai dua kali cubaan membunuhnya – To’ki menjelaskan.

“Sekali anda jadi kongsi gelap, tiada jalan keluar kerana tidak ada istilah cuci tangan,” katanya.

To’ki mendedahkan dirinya koma selama dua minggu di Labuan akibat dipukul musuh kongsi gelap.

Malah, cubaan membunuhnya diteruskan dengan kejadian langgar lari dan serangan bersenjata.

“Saya terima semua ini kerana itu karma dunia kongsi gelap akibat kesilapan sendiri,” jelasnya.

Ditanya sama ada masih bergelar kongsi gelap dan terlibat dengan dadah - To’ki meminta masyarakat memberikannya peluang.

“Saya sekarang tinggal di rumah separuh siap di pinggir hutan dan hidup dalam serba kekurangan.

“Mustahil saya mampu aktif sebagai kongsi gelap dan saya juga sudah bersih daripada dadah tetapi masih memerlukan bantuan ubat anti ketagihan,” katanya.

Dalam wawancara itu, To’ki melahirnya keinginan mencari wang untuk menyiapkan rumahnya yang kini hanya seperti dangau di tepi sungai.

“Saya kini menyanyi sambilan di dua lokasi setiap Khamis dan Sabtu untuk mencari wang menyara isteri,” katanya.

Selain itu, To’ki turut aktif busking melalui Facebook bagi mendapatkan sumbangan sebagai mata pencarian memenuhi keperluan harian.

“Jemputlah saya selalu di Studio Garasi Republik untuk berkongsi ilmu muzik dengan anak-anak muda yang sukakan seni,” katanya.

Selain gigih menyiapkan rumah kecilnya di tepi sungai, To’ki juga berdepan cabaran besar kerana menjaga isterinya yang patah paha akibat kemalangan.

“Saya terima semua ini sebagai ujian Allah,” katanya. – 21 Jun, 2020.
 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen