Penganggur direman 7 hari bantu siasatan kematian anak saudara


SEORANG penganggur direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian membabitkan anak saudaranya.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 26 tahun itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kemaman, Azman Mustapha, bermula hari ini sehingga 3 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, suspek dipercayai menikam anak saudaranya yang berumur dua tahun di bahagian dada ketika mangsa sedang bermain di dalam rumah di Felda Cerul 2 di Kemaman, kira-kira 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kemaman Hanyan Ramlan berkata suspek kemudiannya berjaya ditangkap oleh jiran di kawasan berdekatan rumah mereka pada 1.30 tengah hari dan diserahkan kepada polis.

Katanya suspek sebelum ini pernah mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan pihak polis tidak menolak kemungkinan ketika kejadian dia berada di bawah pengaruh dadah. – Bernama, 28 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen