Polis cekup 62 individu atas kesalahan dadah di Kota Kinabalu 


POLIS menahan 62 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan penyalahgunaan dadah dalam operasi dijalankan di sekitar bandar raya ini termasuk Kampung Sembulan, Inanam dan Tanjung Aru selama seminggu sejak 24 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata kesemua individu ditahan dalam 19 serbuan dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu itu berumur 16 hingga 46 tahun termasuk lapan daripada mereka adalah warga asing.

Beliau berkata seorang individu ditangkap melibatkan kesalahan bekalan dan pengedaran dadah, manakala 20 individu bagi kesalahan memiliki dadah dan 41 individu lagi didapati positif selepas ujian air kencing dijalankan.

“Turut dirampas 16.09 gram syabu dianggarkan bernilai RM804.50,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis akan terus memperhebatkan usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di Kota Kinabalu demi kesejahteraan serta ketenteraman awam dan masyarakat diminta memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan di talian 088-529 220 atau menerusi Facebook IPD Kota Kinabalu, katanya. – Bernama, 1 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen