Doa Palestin boleh, Rohingya dan Yaman tidak boleh?


Mohd Syazreen Abdullah

Etnik Rohingya turut berdepan penindasan dan kezaliman di Myanmar menyebabkan mereka melarikan diri ke negara lain.– Gambar EPA, 18 Jun, 2020.

SEORANG tokoh agama di Indonesia memimpin bacaan doa dalam satu acara kemanusiaan. Beliau memetik daripada Nabi Muhammad SAW. Sabda Nabi, manusia itu duduk bersama dalam satu perahu. Jika perahu itu bocor, mereka akan tenggelam dan korban bersama-sama.

Ini menyedarkan kita: hidup ini di bawah satu bumbung yang sama. Dalam erti, tiada seorang yang terkecuali dalam soal kemanusiaan sejagat. Setiap manusia mesti dilayan baik, adil dan saksama.

Mendoakan kesejahteraan semua manusia demi kemanusiaan adalah selari dengan ajaran baginda SAW. Kerana Islam agama persaudaraan. Agama yang mengajak kita  tentang nilai persaudaraan antara sesama manusia tanpa mengenal kira latar agama, bangsa dan kaum.

Nabi Muhammad SAW sangat pentingkan tentang soal kemanusiaan. Termasuklah ketika berdoa. Dalam ajaran Nabi, doa bukan untuk diri kita sendiri sahaja melainkan ia untuk orang lain juga.

Hadis riwayat Muslim menyebut: Sesiapa sahaja Muslim yang berdoa untuk saudaranya di belakangnya (tanpa diketahui saudaranya itu) kecuali malaikat mengetahui lalu mendoakan kesejahteraan yang berbalik kepadanya juga.

Dalam konteks doa tersebut, para salafussaleh mengamalkan doa untuk kesejahteraan saudaranya yang lain. Ketika berdoa, Nabi mengajarkan kepada kita untuk mengingati tentang nasib penderitaan orang-orang yang susah dan mendoakan kebaikan buat mereka.

Doa untuk kemanusiaan bukan sahaja membuang sikap pentingkan diri tetapi juga mengingatkan kita bahawa hidup ini tidak boleh berdiri tanpa adanya sebuah ikatan persaudaraan yang kukuh. Apatah lagi saat musibah begini.

Kita mesti bersimpati dan belas kasih dengan sama adil.

Doa boleh jadi sebagai tanda selemah-lemah iman kita. Iaitu membenci kemungkaran.

Kita benci penindasan yang melanda hari ini. Kita melawan kekerasan dengan cara berdoa. Solidariti kita kepada kemanusiaan dan kedamaian yang sejagat itu telah dimanifestasikan dengan berdoa. Maka, perbanyakkanlah berdoa.

Sekali lagi doa tanpa mengira bangsa, agama dan kaum.

Itu kisah tokoh agama di Indonesia. Yang berdoa demi kemanusiaan sejagat. Di Malaysia punya cara tersendiri. Ini sangat menyesakkan.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan baru-baru ini mengeluarkan kenyataan media tentang solat hajat, doa selamat dan Qunut Nazilah. Majlis sembahyang hajat, bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin – konflik yang terjadi baru-baru ini.

Semua Masjid yang terlibat diarah menganjurkan solat hajat, bacaan doa selamat dan Qunut Nazilah dilakukan selepas solat Maghrib dan solat Jumaat bermula 15 Jun sehingga 21 Jun 2020.

Islam pilih-pilih

Berbeza kisah di Indonesia, yang mana mendoakan untuk semua manusia. Di Malaysia, ada acara mengenakan doa-doa yang ditujukan kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja.

Alahai, beginikah tahap pemikiran orang-orang agama di Malaysia hari ini? Mereka, dalam soal kemanusiaan masih lagi memilih-milih.

Sekiranya menganjurkan solat hajat dan bacaan doa selamat untuk kesejahteraan kepada warga Palestin, tidak bolehkah doa ini dipanjangkan juga kepada Rohingya dan Yaman?

Atau semua umat manusia yang menderita dan tertindas hari ini?

Bahkan, orang kita di Malaysia pun banyak yang menderita dan ditindas. Mereka juga perlukan doa begini. Ramai yang susah dan dihimpit penderitaan.

Beginikah Islam mengajarkan kepada kita tentang kemanusiaan?

Nabi tidak pernah anjurkan doa pilih-pilih.

Kita memilih solidariti untuk Palestin dalam hal kemanusiaan, kita juga harus bersolidariti kepada saudara kita di Iraq, Yaman, Afghanistan, Syria, Bosnia, dan lain-lain. Hal ini bukan lagi hanya sebatas tentang ukhuwah Islamiyah, bahkan  lebih dari itu tentang ukhuwah insaniyah – persaudaraan kemanusiaan.

Di Malaysia, tidak pelik wujud Melayu Islam yang bersikap xenofobia sehingga tergamak mahu membunuh manusia lain yang berbeza kaum dan bangsa. Mereka benci orang lain seperti Rohingya. Namun, pada masa sama mencintai yang amat sekali kepada orang Palestin.

Mereka lupa tentang kesialan Arab Saudi terhadap orang-orang di Yaman, tetapi mereka sentiasa peka tentang kesialan Israel kepada orang-orang Palestin yang ditindas.

Kita hanya mampu menyaksikan sikap munafik ini berlaku dalam masyarakat hari ini.

Islamkah begini?

Agama apa yang mahu ditanamkan dalam pemikiran Melayu Islam sehingga wujud sikap memilih-milih kemanusiaan mengikut selera masing-masing. Kalau acara selektif begini dianjurkan, maka tidak mustahil masyarakat kita menjadi jahil.

Hari ini, simpati kemanusiaan hanya berpihak kepada isu Palestin. Tidak salah mendoakan orang Palestin, bahkan amalan itu disukai Nabi. Tetapi mengapa kita suka memilih-milih?

Sejak dari dahulu lagi kita mudah sensitif tentang soal Palestin. Sementara itu, jarang atau tiada himpunan dan solat hajat yang membantah serangan Saudi di Yaman. Mengapa?

Berhimpun dan bersolidariti ke atas penderitaan nasib saudara kita yang lain juga. Bukan prihatin pada Palestin sahaja. Ini soal kemanusiaan yang sejagat.

Jika kita berani bercakap soal Palestin, kita juga mesti lantang bercakap soal Rohingya atau soal krisis kematian berpanjangan yang melanda di Yaman.

Peningkatan bilangan kes di Yaman bukan sahaja yang terbunuh dalam konflik peperangan, mereka juga terdedah dengan konflik kelaparan dan kesihatan. Khususnya saat pandemik hari ini.

Apakah nasib mereka ini tidak boleh dilayan sama seperti warga Palestin yang selalu kita ratibkan?

Umat Islam harus memahami konsep persaudaraan kemanusiaan yang sebenar. Kerana itu, qunut nazilah dibacakan sebagai lambang solidariti terhadap kemanusiaan dan bencikan penindasan dan kerosakan yang dilakukan oleh kelompok tertentu – musibah kemanusiaan. Dalam konteks doa ini ditujukan kepada Israel yang zalim menindas terhadap warga Palestin. Kita beramai-beramai menyambut dengan mengaminkan kehancuran Israel.

Ya, kita memang marah. Namun, apakah kita berani marah dan mendoakan sama kehancuran kepada kerajaan Saudi yang zalim kerana menindas saudara kita di Yaman? Apakah kita berani menyatakan keadilan dan bantahan kepada beberapa negara Arab yang memilih bersekongkol dengan penguasa zalim yang tidak berkemanusiaan?

Kita tidak berani. Kita semua terpukau atas kemungkaran ini. Ulama-ulama Islam Arab yang kita sanjungi itu bungkam dan berselimut dengan penguasa zalim. Maka qunut nazilah ditujukan kepada orang-orang yang melakukan kezaliman dan mengiyakan penindasan tersebut.

Qunut Nazilah ajakan kemanusiaan

Pesan nazilah menggambarkan bahawa Tuhan sangat murka kepada orang-orang yang melanggari perintah kemanusiaan. Orang-orang yang menciptakan musibah dan bencana.

Mereka orang-orang yang melakukan penindasan dan kezaliman – kerosakan di muka bumi. Mereka mendustakan pesan kemanusiaan dan kedamaian. Mereka orang-orang yang mesti ditentang. Tidak kira mereka ini bangsa dan agama apa pun.

Ini bencana terbesar yang melanda dunia hari ini. Dunia yang tidak aman. Tiada kemanusiaan.

Mari kita menghayati makna doa yang selalu kita ratibkan ketika warga Palestin sedang ditindas. Perasaan marah kita melihat Palestin ditindas hendaklah harus sama ketika melihat saudara-saudara kita yang lain ditindas dan diperlakukan dengan tanpa kemanusiaan.

Melayu Islam yang anti dan bencikan Israel yang zalim itu sebenarnya berperangai seperti Israel. Menindas dan rasis kepada orang lain.

Mereka memang Melayu yang pemurah dengan doa. Tetapi doa mereka untuk orang yang mereka suka sahaja. Sebab itu kezaliman dan penindasan depan mata, mereka butakan. Mereka suka bercakap soal perjuangan dan kemanusiaan yang di Palestin – ironi dan hipokrit.

Kezaliman dan penindasan tidak hanya pada Palestin, tetapi ada juga di depan mata kita. Akhirnya, kezaliman dan penindasan terhadap saudara dari Rohingya, Yaman, dan di negara-negara tertindas itu juga perlukan solidariti kekuatan doa daripada kita semua.

Realiti, kita nampak Palestin yang jauh. Sementara Rohingya di depan mata pun kita tidak nampak.

Begitulah. Kita berdoa demi kemanusiaan. Mengapa kita gamak tepikan mereka dalam doa kita?

Mungkin berjuang untuk membebaskan Palestin itu lebih nampak islamik berbanding berjuang untuk Rohingya.

Kita menganut Islam yang pilih-pilih. Hipokrit. – 18 Jun, 2020.


* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen