Kemarahan rakyat kerana Riza Aziz bebas boleh difahami, kata Daim


The Malaysian Insight

Kemarahan rakyat terhadap keputusan Putrajaya membuat perjanjian pembebasan dengan Riza Aziz boleh difahami, kata Daim Zainuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2020.

KEMARAHAN rakyat Malaysia terhadap perjanjian dibuat antara Putrajaya dan Riza Aziz boleh difahami, kata bekas penasihat kerajaan Daim Zainuddin.

“Rakyat mahu tahu mengapa bila awak curi Milo awak kena penjara, tetapi bila awak curi berbilion ringgit, awak boleh terlepas bebas?

“Rakyat fikir ini adalah perjanjian yang bagus untuk dia (Reza). Dia tak perlu habiskan masa dalam penjara dan dibenarkan untuk simpan lebih RM500 juta yang dicurinya,” kata Daim dalam satu temubual baru-baru ini.

Riza, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion) dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) antara April 2011 dan November 2012.

Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan tetapi tidak membebaskan (DNAA) daripada semua pertuduhan.

DNAA terpakai dengan syarat Riza memulangkan aset asing dikaitkan dengan jenayah itu yang dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta (RM465.3 juta). Kegagalan mematuhi syarat boleh menyebabkan Riza didakwa semula dengan pertuduhan sama.

Riza, bersama-sama ibunya, Rosmah Mansor dan Najib didakwa antara pihak yang bersubahat menyeleweng berbilion dana negara daripada 1MDB ketika Najib berkuasa antara 2008 sehingga 2018.

Ketiga-tiga mereka adalah antara individu terkenal yang diheret ke mahkamah selepas kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018 oleh Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, pada 23 Februari lalu, PH ditumbangkan oleh rampasan kuasa tidak berdarah oleh Perikatan Nasional (PN), yang turut disertai parti Najib, Umno.

Hampir enam minggu selepas tragedi hitam itu, mahkamah menerima permohonan DNAA daripada pihak pendakwaan kepada Riza.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudiannya berkata kerajaan dijangka mendapat semula aset luar negara dianggar berjumlah AS$107.3 juta disebabkan DNAA itu.

Peguam dan pemimpin PH bagaimanapun mengecam keputusan pendakwaan menarik balik pertuduhan, menyifatkannya sebagai menghantar mesej keadilan yang salah kepada rakyat.

Pemerhati juga mempersoalkan sama ada Najib, Rosmah dan pemimpin era Barisan Nasional lain yang kini berdepan pelbagai pertuduhan jenayah akan mendapat layanan sama seperti Riza dan tidak disabitkan bersalah.

Dalam temubual baru-baru ini, Daim berkata perjanjian Putrajaya dan Riza nampaknya berat sebelah.

“Sudah tentu rakyat marah. Dia tak beri pun sebarang bayaran semula tambahan - semua hartanah itu sudah disita dan memang akan dipulangkan kembali kepada Malaysia.

“Lagipun, jumlah yang mereka tawarkan adalah jumlah nilaian hartanah itu.

“Ia tidak bermaksud yang inilah jumlah nilai yang akan dilelong. Rakyat mahu tahu mengapa dia tidak dipenjara, dan mengapa dia dibenarkan menyimpan lebih separuh daripada wang yang dituduh dicurinya,” kata Daim. – 17 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen