‘Perjanjian’ Riza Aziz timbulkan persoalan, kata peguam


Bede Hong

Riza Aziz , dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan dana 1MDB. – Gambar fail EPA, 16 Mei, 2020.

PERSETUJUAN antara Putrajaya dengan Riza Aziz untuk menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan terhadapnya, memberi isyarat silap kepada masyarakat umum dan membangkitkan persoalan tentang keseriusan kerajaan dalam membanteras rasuah, kata peguam dan kumpulan persatuan sivil.

Riza, anak tiri kepada bekas perdana menteri Najib Razak, dilepas tanpa dibebaskan di mahkamah bagi lima pertuduhan kes pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.07 bilion) menerusi sebuah syarikat produksi Hollywood.

Beliau membayar kompaun beberapa juta ringgit, kata ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, menambah kerajaan dijangka mendapatkan semula aset di luar negara dianggarkan bernilai AS$107.3 juta, sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menggugurkan pertuduhan.

Riza, 43, yang berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda maksimum RM5 juta jika disabitkan bersalah, tidak pernah dibicarakan.

“Jadi moral cerita ini ialah – jika anda pencuri, pastikan anda curi dua kali ganda jumlah yang anda mahu kerana bila tertangkap, anda juga perlu tawarkan saja untuk pulangkan sebahagian dan kemudian anda bebas,” kata peguam Americk Sidhu kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata persetujuan itu memberi isyarat kepada masyarakat umum sebagai pengakuan salah bagi pihak Riza.

“Jika Riza tidak bersalah, kenapa dia tawarkan untuk bayar semula? Hakikatnya ialah bila dia tawarkan untuk bayar semula, maknanya dia mengaku salah.

“Jika seseorang yang dituduh atas sesuatu kesalahan mengaku salah, mereka biasanya disabitkan dan dijatuhkan hukuman.

“Dan sudah tentu persoalan di fikiran semua orang pada masa ini ialah – apa kata jika Najib tawarkan untuk bayar balik AS$1.3 bilion?,” katanya, merujuk kepada perbicaraan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram ahli Parlimen Pekan itu yang bernilai RM2.3 bilion membabitkan wang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) Cynthia Gabriel berkata walaupun tawaran rayuan sebahagian daripada amalan undang-undang untuk mengelak perbicaraan panjang di mahkamah, keadaan di sebalik Riza dilepaskan “sangat aneh”.

“Kenapa berlaku begitu? Ini kes berkepentingan awam, satu kes rasuah besar dan pengubahan wang haram.

“Sudah ada pun perjanjian penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (bernilai AS$60 juta).

“Jadi apa sebenarnya perjanjian di sini? Sudah tentu dakwaan mencuri dana awam tidak boleh terlepas dengan hanya tawan rayuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Cynthia berkata amat penting untuk pihak berkuasa beri penjelasan siapa yang menguruskan proses itu dan kenapa.

“Ini tidak boleh jadi jalan keluar kepada penjenayah rasuah, dengan bekerjasama untuk dapatkan semula wang yang dicuri dan kemudian terlepas daripada tuduhan.”

Katanya, kes ini boleh menjadi “duluan yang teruk” dalam perbicaraan kes rasuah lain. – 16 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen