Anak tiri Najib dilepas tanpa dibebaskan


Pada perbicaraan 5 Julai tahun lalu anak tiri Najib Razak, Riza Aziz mengaku tidak bersalah terhadap lima tuduhan pengubahan wang haram oleh dana berkaitan 1 Malaysian Development Berhad (1MDB). – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2020.

ANAK tiri Najib Razak, Riza Aziz hari ini dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) melalui sebuah rumah penerbitan Hollywood.

Hakim Azman Ahmad hari ini membenarkan permohonan itu setelah pendakwa raya Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa persetujuan dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh dengan syarat-syarat yang mana kerajaan Persekutuan akan menerima “sejumlah wang bernilai jutaan ringgit”.

Membaca kenyataan itu Sri Ram berkata jumlah tersebut merujuk secara langsung kepada tuduhan dalam kes tersebut.

Riza mengaku tidak bersalah pada perbicaraan 5 Julai tahun lalu terhadap lima tuduhan pengubahan wang haram oleh dana berkaitan 1 Malaysian Development Berhad (1MDB) melalui akaun bank Red Granite Productions Inc yang ditubuhkannya bersama dan dia sendiri didakwa di Amerika Syarikat kerana menyalahgunakan wang dari dana pelaburan antara 12 April 2011 dan 14 November 2012. 

Sri Ram memberi kepada mahkamah sejak Riza didakwa beliau sudah beberapa kali mengemukakan permohonan representasi.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata representasi itu telah “dipertimbangkan dengan teliti oleh mereka yang berkenaan”.

“Selepas persetujuan dibuat pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh tidak akan diteruskan sementara menunggu terma persetujuan itu dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Sri Ram menambah jika ada penyelesaian yang memuaskan maka langkah-langkah yang sesuai akan diambil bagi memastikan tertuduh mendapat pembebasan sepenuhnya.

“Tetapi jika tidak ada penyelesaian yang memuaskan dari persetujuan yang dibuat pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh,” katanya. – 14 Mei, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen