Putrajaya terima semula AS$107 juta aset sebagai perjanjian gugur kes terhadap Riza Aziz 


Anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz hari ini dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta melalui sebuah syarikat penerbitan Hollywood.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2020.

KERAJAAN Malaysia dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara yang terlibat daripada kesalahan berkenaan iaitu dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta (RM465.3 juta) sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk menggugurkan kes pengubahan wang haram terhadap anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dalam satu kenyataan berkata pihaknya dimaklumkan bahawa ia merupakan pelepasan bersyarat yang mana pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

“Dalam persetujuan ini juga, tertuduh dikehendaki membayar sejumlah kompaun kepada kerajaan sebagaimana dibenarkan di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang mana ini adalah bersifat punitif sebagai alternatif kepada pertuduhan-pertuduhan yang telah dikenakan ke atasnya.

Persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang telah dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas, kata SPRM.

Terdahulu hari ini, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Riza Aziz hari ini dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan berapa pertuduhan yang dibuat pada 5 Julai, 2019 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Riza berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) melalui sebuah syarikat penerbitan Hollywood.

Beliau boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM5 juta jika sabit kesalahan. – 14 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen