Covid-19 pemacu utama agenda digital negara, kata Mustapa


Ragananthini Vethasalam

Covid-19 menyedarkan negara yang kita perlu bergerak pantas mendigitalkan ekonomi untuk terus bertahan berdepan kesan wabak yang melanda seluruh dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2020.

WABAK Covid-19 kini menjadi pemacu utama agenda digital negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed.

“Covid-19 meninggalkan parut kekal di dunia dan Malaysia tidak terkecuali tetapi ia (juga) telah mengubah cara kita bekerja.

“Lebih ramai orang kini menggunakan e-dagang, membeli makanan secara dalam talian, seru pandu, masyarakat nirtunai (dan) e-pembelajaran, ada sebilangan inisiatif yang terhasil daripadanya (wabak),” kata menteri yang bertanggungjawab dalam urusan ekonomi itu pada seminar web bertajuk “Pemacuan Digital ID: Kebolehan Ekonomi Digital dalam Kelaziman Baharu.”

Tambahnya, krisis kesihatan awam disebabkan Covid-19 juga memberikan peluang kepada Malaysia untuk menggerakkan agenda digital negara.

Walaupun sektor swasta sudah banyak menyumbang ke dalam ruang digital, Mustapa berkata sudah tiba masanya kerajaan menjadi peneraju, menambah yang terdapat beberapa cabaran yang dikenalpasti ketika negara melawan wabak itu.

“Ada cabaran yang terdedah ketika era Covid-19 yang mana wujud cabang kerajaan yang nampaknya tidak bersedia secara digital,” katanya.

“Ada pengajaran yang kita belajar dan untuk bergerak ke hadapan kita bertekad untuk memastikan yang Malaysia menggunakan sepenuhnya perubahan landskap ini,” katanya, turut menambah yang matlamatnya adalah memastikan semua warga bersedia memasuki era digital.

Bagaimanapun, jelasnya, kejayaan agenda digital negara akan bergantung kepada secepat mana negara beradapatasi dengan kelaziman baharu.

“Di Malaysia sejak beberapa minggu lepas kita sudah banyak bercakap tentang latihan dan pemantapan semula kemahiran. Kita mahu menjadikan Malaysia mesra digital,” katanya.

Tambahnya, negara juga terbuka kepada perniagaan dan mahu menjemput pelabur kembali melabur dan bekerjasama dengan rakan antarabangsa.

Menyentuh isu pakej Penjana bernilai RM35 bilion yang baharu diumumkan, Mustapa berkata agenda digital adalah keutamaannya dan menjadi salah satu daripada tiga fokus pakej rangsangan ekonomi itu.

Jelasnya, akan wujud banyak program dan tumpuan kepada pemantapan dan pelatihan semula kemahiran untuk perusahaan kecil dan sederhana, serta kerajaan akan memastikan akses jalur lebar dan infrastruktur di kawasan pedalaman mencukupi.

Menurut Mustapa, ini disebabkan kerajaan sedar yang ramai pelajar di kawasan pedalaman berdepan masalah menggunakan e-pembelajaran dan ada perniagaan terutama dalam sektor tidak formal masih tidak menggunakan e-dagang. – 15 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen