Ini kerajaan Muhyiddin, bukan Perikatan, kata Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Muhyiddin Yassin mengetepikan perlembagaan parti, sementara memberi jawatan dan kedudukan kepada mereka yang menyokongnya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2020.

KERAJAAN yang mentadbir Putrajaya sekarang ialah kerajaan Muhyiddin Yassin, dan bukannya kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, gabungan itu belum wujud semasa Muhyiddin diangkat sebagai perdana menteri.

“Saya terpaksa panggil kerajaan pimpinan Muhyiddin ini sebagai Kerajaan Muhyiddin,” katanya, dalam satu tulisan di blognya, hari ini.

“Ramai yang panggil kerajaan ini Kerajaan Perikatan Nasional. Tetapi Parti Perikatan Nasional tidak wujud.

“Tidak pernah diadakan acara pelancaran parti ini. Tidak pernah didaftar Perikatan Nasional ini di waktu Muhyiddin isytihar dirinya sebagai Perdana Menteri Perikatan Nasional,” tambahnya.

Dr Mahathir meneruskan serangannya terhadap Muhyiddin, sehari selepas membawa perbalahannya dengan presiden Bersatu itu ke mahkamah.

Dalam samannya, yang juga dikemukakan bagi pihak Bersatu, Dr Mahathir yang menegaskan beliau masih pengerusi parti yang sah turut meminta perisytiharan mahkamah antara lain bahawa Muhyiddin bukan lagi ahli Bersatu.

Bersatu kini terpecah dua selepas Muhyiddin menarik parti itu keluar dari Pakatan Harapan dan membentuk gabungan baharu bersama Umno dan PAS, serta komponen Barisan Nasional (BN), yang mendapat sokongan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Dalam tulisannya, Dr Mahathir juga menyebut bagaimana Muhyiddin menguasai Bersatu dengan mengetepikan perlembagaan parti, sementara memberi jawatan dan kedudukan kepada mereka yang menyokongnya.

“Inilah cara Muhyiddin. Perlembagaan, aturan-peraturan, bahkan undang-undang tidak diendah sama sekali.

“Tak hairanlah dia sanggup menerima dan bekerjasama dengan pencuri, perasuah dan penyangak,” katanya.

Bersatu, BN, dan PAS serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan dua parti dari Sabah tiga minggu lalu bersetuju menubuhkan PN sebagai gabungan kerjasama politik.

Muhyiddin kini mendirikan kerajaan dengan majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim hari ini berkata pihaknya mempunyai 107 kerusi daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, bersama sokongan daripada kumpulan Bersatu yang menyokong Dr Mahathir dan Parti Warisan Sabah.

Awal minggu ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata PN sedia menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa, ketika ada desas-desus ia mungkin diadakan lebih awal bagi memastikan mandat rakyat yang sah selepas peralihan kuasa melalui percaturan politik lebih tiga bulan lalu.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun dalam reaksi segera berkata pandangan tersebut hanya mewakili pendirian PAS dan bukannya pendirian rasmi PN. – 10 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • sudah2 lah tu pakcik

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Makcik kiah · Ulasan