Pakatan bayangkan perubahan besar tidak lama lagi


Pemimpin Amanah, DAP bertemu Anwar Ibrahim malam tadi, beberapa jam selepas perjumpaan berasingan dengan Dr Mahathir Mohamad. – Gambar Twitter, 5 Jun, 2020.

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) malam tadi mengadakan satu pertemuan dengan Anwar Ibrahim, beberapa jam selepas perbincangan berasingan dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah, Mohd Shafie Apdal.

Pertemuan itu berlangsung ketika suhu politik semakin hangat dengan desas-desus yang bersimpang siur mendakwa PH bersama kumpulan Dr Mahathir dan Warisan kembali mempunyai majoriti, tiga bulan selepas pertukaran kerajaan di Putrajaya.

Pertemuan Anwar bersama pemimpin Amanah dan DAP, yang berlangsung di kediamannya malam tadi, dihebahkan melalui akaun media sosial PH.

“Pimpinan utama PH telah bertemu malam ini & ulangi komitmen untuk bersama kukuhkan PH dalam membuat setiap keputusan & tindakan politik.

“PH akan membuat semua keputusan berasaskan konsensus.

“InshaAllah perubahan besar dalam masa terdekat,” kata keterangan yang mengiringi gambar pertemuan tersebut, yang dimuat naik di melalui Facebook dan Twitter.


Pertemuan itu disertai dua pemimpin DAP iaitu Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Setiausaha Organisasi Anthony Loke, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

Anwar atau mana-mana pemimpin PKR tidak menyertai perjumpaan pemimpin Amanah dan DAP dengan Dr Mahathir sebelum itu, yang dilaporkan oleh media sebagai pertemuan PH Plus iaitu gabungan parti itu bersama kem Bersatu yang disingkirkan oleh parti, dan Warisan.

Bersatu kini terbelah dua selepas Muhyiddin membawa parti keluar dari PH dan membentuk gabungan baharu bersama Umno dan parti-parti lain atas nama Perikatan Nasional (PN).

Dr Mahathir dan kumpulannya mendakwa tindakan itu tidak mendapat mandat parti. Mereka juga sudah merujuk bantahan itu kepada pendaftar pertubuhan.

Sebelum ini, Anwar juga tidak menyertai sidang media PH, Bersatu dan Warisan yang diadakan selepas pembukaan sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Dua hari selepas itu Anwar menjelaskan beliau tidak hadir kerana itu bukan sidang media PH.

Semalam juga, China Press melaporkan Dr Mahathir dan Anwar sudah mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan mereka kini mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

Laporan akhbar berbahasa Cina itu bagaimanapun tidak dapat disahkan.

Laporan itu mendakwa PH, bersama ahli Parlimen yang menyokong Dr Mahathir dan Warisan kini mempunyai 130 kerusi, termasuk 18 daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

GPS menyokong Muhyiddin dan PN sejak pentadbiran itu terbentuk pada 1 Mac lalu.

Yang di-Pertuan Agong semalam bagaimanapun menghadiri istiadat melantik bekas ketua menteri Melaka Mohd Ali Rustam sebagai Yang di-Pertuan Negeri yang baharu, yang akan mengangkat sumpah jawatan hari ini. – 5 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen