Dokumen bocor tulen, Khaled Nordin terus diasak beri penjelasan


Ikhwan Zulkaflee

MENTERI Besar Johor Mohamed Khaled Nordin sekali lagi diminta menjelaskan dakwaan menerima wang habuan dalam skandal tanah yang meletus awal tahun ini. 

Ini susulan pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengenai ketulenan dokumen siasatan kes skandal yang melibatkan bekas exco kerajaan negeri itu yang telah ditularkan. 

“Baguslah SPRM sahkan yang dokumen itu tulen. Saya harap MB (menteri besar) dapat jelaskan perkara ini dalam dewan (undangan negeri) untuk membersihkan nama kerajaan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai Wong Shu Qi kepada The Malaysian Insight menerusi aplikasi WhatsApp. 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki berkata pihaknya mengambil serius kes kebocoran dokumen ini kerana khuatir ia akan mengganggu perjalanan kes tersebut dalam mahkamah. 

“Dokumen kenyataan rakaman percakapan salah seorang tertuduh telah diberikan kepada peguambela atas permintaan mengikut undang-undang sedia ada untuk tujuan pembelaan selepas suspek dituduh.

“Berhubung satu jadual pembayaran yang dimuat naikan di media sosial yang dikaitkan dengan siasatan tersebut, SPRM berpendapat ianya telah sengaja diada-adakan untuk mengelirukan masyarakat.  

“Memandangkan kes melibatkan bekas exco (kerajaan) negeri Johor  masih dalam perbicaraan, maka SPRM khuatir pembocoran dokumen-dokumen tersebut akan mengganggu prosiding mahkamah,” Azam berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang tadi. 

Beliau berkata, satu laporan polis akan dibuat bagi mencari dalang disebalik penularan dokumen-dokumen tersebut. 

“Ingin ditegaskan, pembocoran kenyataan sedemikian adalah satu perbuatan menghina mahkamah dan bersifat prejudis kerana kes tersebut masih dalam perbicaraan mahkamah,” tambahnya. 

Wong yakin polis mempunyai cara bagi mengenalpasti pihak bertanggungjawab menularkan dokumen-dokumen berkenaan. 

“Saya hanya memetik dari dokumen yang dimuatnaik di dalam laman web,” katanya lagi. 

Wong bagaimanapun tidak menamakan laman web tersebut. 

Dalam persidangan Dun Johor pada Isnin, Wong menyoal sama ada benar atau tidak  Khaled ada menerima wang RM12 juta untuk mengubah status lot perumahan Bumiputera kepada status bukan Bumiputera.

Wong berkata, beliau mendapat maklumat itu dari sebuah laman web yang memuat naik kenyataan saksi dalam siasatan yang dijalankan oleh SPRM. 

Setiausaha Publisiti DAP Johor itu turut diperintahkan keluar dari persidangan Dun kerana enggan menarik balik kenyataannya yang mengaitkan Khaled dengan dakwaan skandal hartanah tersebut. 

Skandal itu membabitkan 33 pertuduhan mahkamah yang dihadapi oleh bekas exco kerajaan negeri Abd Latif Bandi dan seorang perunding hartanah Amir Shariffuddin pada Jun lepas melibatkan rasuah bernilai lebih RM30.3 juta, antara tahun 2013 sehingga 2016. – 28 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen