Apakah erti pendidikan percuma zaman koronavirus?


DAHULU, parti-parti politik hebat bertelagah tentang hakikat pendidikan percuma, rancak perbahasan mengenai sama ada patut atau tidak kita mansuhkan pinjaman PTPTN. 

Pendek kata, pendidikan percuma atau mampu milik ketika itu dikaitkan dengan perihal sama ada pelajar atau keluarga pelajar itu mampu menanggung yuran pembelajaran dan juga mampu menyara hidupnya sepanjang pengajiannya, terutama untuk pelajar di institusi pengajian tinggi. 

Namun begitu, pandemik koronavirus (Covid-19) telah mengubah lensa kita bagi menanggapi hakikat pendidikan percuma atau pendidikan mampu milik itu. 

Jika dahulu kita membayar cukai (untuk sekolah kerajaan) dan yuran (untuk pengajian tinggi) bagi mendapatkan akses pendidikan dan fasilitinya, kini cukai dan yuran itu seakan tidak lagi bermakna  kerana kita terputus terus dengan akses terhadap perkhidmatan dan fasiliti pendidikan. 

Murid-murid dan pelajar-pelajar tidak boleh bersemuka dengan guru-guru dan pensyarah. Mereka juga tidak boleh menggunakan fasiliti sekolah seperti perpustakaan, makmal, bengkel, dan juga akses internet. 

Keadaan ini memerlukan muhasabah adakah berbaloi yuran yang dibayar kepada pihak universiti untuk semester terkini memandangkan baki pengajian yang perlu diselesaikan bukan lagi di premis universiti, tetapi di rumah sendiri. 

Hal ini bermakna pelajar tidak menggunakan fasiliti universiti seperti yang disebutkan di atas dan tidak juga tinggal di kolej-kolej kediaman. Maka tindakan sewajarnya ialah memulangkan sebahagian yuran tersebut kepada pelajar. 

Pujian harus diberikan kepada MPP di beberapa universiti tempatan yang sudah mula menggerakkan usaha dan menyediakan kertas cadangan bagi memastikan pemulangan sebahagian yuran pelajar. Sekurang-kurangnya ada usaha ke arah itu. Selebihnya bergantung pada tanggungjawab moral pihak pentadbiran universiti untuk mempertimbangkannya. 

Namun masalah paling besar bukan semata-mata pada yuran sahaja, tetapi hakikatnya terletak pada kemampuan pelajar untuk menyambung pengajian di rumah masing-masing.

Ya, kita perlu berbincang tentang akses terhadap Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). 

Mahu tidak mahu, jika pengajian tidak ditangguh, untuk golongan pelajar pengajian tinggi yang tidak diberi pengecualian, mereka mesti menyambung pengajian di rumah secara dalam talian. 

Tetapi tidak semua pelajar bernasib baik untuk memiliki capaian internet yang memuaskan untuk pembelajaran dalam talian. Hakikatnya, pembelajaran dalam talian di Malaysia adalah satu ‘bala’. 

Kelajuan internet jalur lebar tetap (fixed broadband) di Malaysia boleh dikatakan agak memuaskan iaitu 67.15 Mbps, di belakang Singapura dan Thailand di rantau Asean), namun tidak semua kawasan di Malaysia menikmati kelajuan internet yang sama. Sebagai contoh, masih banyak lagi kawasan luar bandar yang  tidak mempunyai peluang untuk capaian internet fiber seperti Unifi dan TIME Broadband. 

Malah, kelajuan internet jalur lebar mudah alih (mobile broadband) pula jauh lebih rendah iaitu pada kelajuan 20.49 Mbps di belakang Singapura, Laos, Myanmar, dan Vietnam untuk rantau Asean. Lebih memburukkan keadaan, kebanyakan mereka tinggal di luar bandar dan tidak semua mampu mendapatkan kelajuan internet mudah alih melebihi 10 Mpbs. 

Malah, bagi penduduk luar bandar pula, mereka terpaksa membuat pertimbangan yang sukar, sama ada mahu kuota internet tinggi dengan kelajuan rendah atau mengorbankan kuota demi kelajuan internet yang lebih pantas. 

Pembelajaran dalam talian tidak sepatutnya menimbulkan dilema tersebut. Keperluan data tanpa had dan juga kelajuan yang tinggi adalah satu perkara yang mesti dimiliki. Kelajuan tinggi adalah penting untuk memastikan proses pembelajaran langsung seperti telesidang dan kelas ‘online’ dapat berjalan dengan lancar dan tidak tersekat-sekat. Kuota yang tinggi atau tanpa had juga diperlukan bagi memastikan sepanjang pembelajaran yang memerlukan pergerakan, akses kepada video-video berkaitan subjek untuk panduan pelajar dapat ditonton agar sedikit sebanyak dapat menggantikan pengajaran langsung di kelas atau dalam kes penulis di hospital. 

Malangnya, dengan keadaan sekarang, kita masih belum mampu. 

Malah tidak cukup dengan kelemahan internet, ada antara kita tidak memiliki peranti yang terbaik untuk pembelajaran dalam talian. 

Tidak semua pelajar mempunyai laptop yang cukup baik untuk menggunakan perisian pembelajaran telesidang seperti Zoom dan Micorosft Teams. Sedikit sahaja yang mempunyai iPad dan tablet Android. Tidak semua pelajar memiliki telefon pintar yang memuaskan untuk multitasking. 

Kesemua faktor ini menjadikan pembelajaran dalam talian tidak mampu menjadi selancar yang diharapkan. Malah ada juga pelajar yang melaporkan, apabila menyertai kelas dalam talian, tiba-tiba rangkaiannya terputus. Beberapa minit kemudian barulah dia berjaya memasuki kelas semula. Dalam masa beberapa minit itu, sudah berapa banyak penerangan pensyarah dia tertinggal? 

Benar, pelajar sekarang sangat menyokong antara satu sama lain. Contohnya ada antara kawan yang ketinggalan menyertai kelas dalam talian akan bertanya kawan lain tentang isi perbincangan kuliah itu. 

Namun ketaksetaraan (inequality) capaian terhadap capaian internet dan ICT ini tidak boleh dibiar sambil lewa, kerana ini membawa maksud ketaksetaraan terhadap akses pendidikan!

Jika dahulu pendidikan percuma membawa maksud yuran dan pinjaman PTPTN dimansuhkan dengan biasiswa yang mencukupi bagi memastikan sara hidup pelajar tidak terabai, zaman koronavirus ini membawa kita memahami norma baharu. 

Norma baharu pendidikan percuma ialah kesetaraan dalam capaian ICT, apatah lagi jika ICT sahaja yang membolehkan mereka menyambung pengajian pada saat yang sukar ini. 

Walau apapun pertelingkahan para elit politik hari ini, hak pelajar untuk belajar mesti dipelihara. Jika ini bermakna ada keperluan untuk pembangunan fasiliti ICT dan meningkatkan kemampuan rakyat terhadap capaian internet, maka itulah yang perlu dilakukan. 

Kita tidak boleh biarkan seseorang itu terbiar tidak terpelajar hanya kerana mereka miskin dan tidak mampu mendapat akses kepada kemudahan yang sepatutnya sudah menjadi kebiasaan sejak dahulu, bukannya norma baharu pasca-koronavirus.  – 30 Mei 2020.
 
*Wan Mohd Salman Wan Sallam ialah aktivis Belia Harmoni Cheras Baru

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen