Bersediakah Malaysia untuk belajar dalam talian?


ZF Zamir

PADA 10 April lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia menerbitkan laporan penyiasatan penggunaan dan capaian ICT oleh individu dan isi rumah 2019.

Laporan ini hadir tepat pada masanya iaitu ketika negara dalam ‘Perintah Kawalan Pergerakan’ (PKP) akibat wabak pandemik Covid-19 yang menyebabkan semua sekolah dan universiti terpaksa ditutup, serta sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan dalam talian.

Tiga tulisan saya sebelum ini – ‘Kebiasaan baharu pendidikan Malaysia’ pada 24 April, ‘Melihat menteri pendidikan bekerja’ pada 16 Mei, serta ‘Jurang digital dan risiko pembelajaran dalam talian’ pada 22 Mei – mengupas kebiasaan baharu sistem pendidikan nasional. 

Ketiga-tiganya juga meneliti dengan kritis kesan pembelajaran dalam talian kepada anak-anak untuk satu tempoh masa yang panjang serta risiko keciciran kepada 1.6 juta anak murid akibat jurang digital. 

Melalui tulisan itu, saya menggesa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk segera membuat pelan kontigensi pasca-Covid 19 dan seterusnya segera membuka semula sekolah dan universiti secara berperingkat.

Realiti jurang digital

Laporan Jabatan Perangkaan itu mendedahkan beberapa dapatan signifikan untuk membantu kita semua memahami realiti jurang digital di negara ini.

Misalnya untuk kajian isi rumah, dapatan terkini laporan tersebut menunjukkan 3 dari 10 buah rumah tidak mempunyai komputer.

Untuk setiap 10 buah rumah pula, 1 rumah tidak mempunyai akses kepada internet dan telefon pintar. Manakala dari 100 buah rumah, hanya 30 rumah yang mempunyai capaian kepada internet jalur lebar.

Manakala di luar bandar pula, hampir separuh dari setiap isi rumah tidak memiliki komputer.

Untuk setiap 100 buah rumah luar bandar, 16 rumah tidak memiliki akses kepada telefon pintar dan hanya 12 rumah memiliki capaian kepada internet jalur lebar. Malah 2 dari setiap 5 buah rumah tidak mempunyai akses kepada internet.

Laporan itu juga menunjukkan antara negeri yang mempunyai capaian internet terendah adalah negeri Kedah, Perak, Kelantan serta Sarawak.

Capaian individu

Realiti jurang digital ini semakin terserlah dengan dapatan capaian ICT untuk kategori individu.

Laporan capaian ICT oleh individu 2019 antara lain mendedahkan: 2 dari setiap 10 orang tidak memiliki telefon bimbit; 3 dari setiap 10 orang tidak memiliki komputer dan 1 dari setiap 6 orang tidak memiliki capaian terhadap internet.

Manakala di luar bandar pula hampir 1 dari setiap 4 orang tidak memiliki capaian terhadap internet.

Sebagai perbandingan, menurut International Telecommunication Union (ITU), ketika Malaysia hanya mencatatkan penggunaan internet pada kadar 84.2% sahaja, negara lain seperti Korea mencatatkan sehingga 96%, Jepun 91.3% serta Hong Kong 90.5%.

Malah prestasi IDI atau Indeks Pembangunan ICT (IDI) yang merupakan alat untuk memantau jurang digital global untuk tahun 2016-17 mendedahkan Singapura  meraih kedudukan ke-18 di dunia diikuti oleh Brunei Darussalam di kedudukan ke-53 manakala Malaysia hanya memperoleh kedudukan ke-63 dunia. 

Ketersediaan Malaysia Untuk Pembelajaran Dalam Talian

Kesemua dapatan yang didedahkan dalam laporan ini memberi kita peluang untuk menubuhkan tesis yang kuat terhadap jurang digital yang semakin melebar dalam kalangan masyarakat terutama antara warga bandar dan warga luar bandar.

Ia memberi kita sudut pandang yang lebih teknikal iaitu jurang digital ini begitu konsisten, terutama di beberapa negeri yang mencatatkan peratusan capaian internet paling rendah seperti Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan serta Pahang. Malah lebih membimbangkan ia lebih kritikal daripada apa yang kita sangkakan.

Pada masa sama, dapatan kajian ini juga mengundang persoalan demi persoalan kepada kerajaan dan pihak berwajib khususnya KPM & KPT: Apakah hari ini Malaysia bersedia untuk menjalankan sistem pengajaran dan pembelajaran dalam talian?

Bagaimana pembelajaran dalam talian mahu dilaksanakan ketika 28.7% isi rumah tidak mempunyai akses kepada komputer, 9.9% isi rumah tidak mempunyai akses kepada internet serta 15.9% isi rumah luar bandar tidak mempunyai akses kepada telefon pintar?

Bagaimana guru mahu mengajar ketika 69.3% isi rumah di seluruh negara tidak mempunyai akses terhadap internet jalur lebar?

Bagaimana anak murid mahu menyelesaikan tugasan ketika hampir 18.5% isi rumah warga luar bandar tidak mempunyai akses terhadap internet?

Bagaimana siswa universiti mahu menyesuaikan diri dengan ‘online class’ sehingga hujung tahun ketika hampir 2.1% individu dalam negara ini tidak memiliki telefon bimbit?

Bagaimana para pensyarah mahu menghantar ‘assignment’ ketika hampir 9.1 juta individu dan 46% individu luar bandar tidak memiliki komputer serta 5.1 juta individu dan 27.3% individu luar bandar masih tidak memiliki capaian terhadap internet hari ini?

Seperti pernah saya tuliskan sebelum ini, perkataan ‘new normal’ itu mungkin kelihatan seksi dan futuristik.

Walau bagaimanapun, tatkala melihat pencapaian Malaysia hanya sekadar di tangga 63 dunia dalam skor ketersediaan ICT (IDI), ‘new normal’ juga boleh menjadi disruptif, dan bakal memberi risiko keciciran kepada hampir 1.6 juta anak di sekolah dan ratusan ribu anak siswa di universiti.

Ini semua akan merencatkan seluruh usaha kita semua membanteras buta huruf, memastikan semua anak masuk ke sekolah rendah, tidak keciciran untuk ke peringkat menengah dan menamatkan pengajian tinggi sehingga mencapai 45.13% pendidikan tertiari pada 2018.

Malangnya KPM serta KPT hari ini masih tenang, tanpa nampak ada sebarang perancangan pasca Covid-19 untuk anak kita semua. – 30 Mei, 2020.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen